Saturday, 11 January 2014

Baik buruk diet Atkins

Diet Atkins mula diperkenalkan pada awal tahun 70an oleh Dr Robert C. Atkins di mana diet ini menggunakan teori diet Atkins mengatakan bahawa anda hanya perlu mengambil makanan yang mengandungi protein dan tidak boleh menyentuh makanan bersumber karbohidrat sama sekali.

Kebanyakan yang mengamalkan diet ini berjaya kurus kerana dengan mengurangkan dan menghadkan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, kentang dan gula.

Pada dua minggu pertama, tubuh badan akan menghasilkan ketosis iaitu keadaan di mana tubuh akan menggunakan lemak sebagai bahan bakar. Ini bererti berat badan anda akan mula turun.

Dengan mengamalkan diet ini, karbohidrat disingkirkan dari pemakanan anda, bermakna kalori dapat dikurangkan dan membawa kepada penurunan berat badan.

Bagaimanapun, diet Atkins juga ada kesan buruk juga iaitu tubuh badan anda menggunakan lemak sebagai bahan bakar oleh itu anda perlu mengambil banyak protein menyebabkan anda mengambil banyak kolesterol dalam seharian.

Sebagai contoh, makanan laut seperti udang dan ikan mempunyai protein yang tinggi dan hampir kesemuanya mengandungi kolesterol yang menjadi punca kepada sakit jantung. Ketosis akan menyebabkan nafas berbau, menyebabkan osteoporosis dan merosakkan buah pinggang jika dilakukan dalam jangka masa panjang.

Selain itu, ketosis juga membawa kepada penghasilan urik asid, iaitu penyebab kepada penyakit-penyakit seperti gout (sakit sendi), batu karang dan sembelit.

Walaupun diet Atkins boleh menurunkan berat badan dengan pantas tapi usah terkejut apabila hasil bentuk tubuh anda akan lebih kepada kurus lembik dan bukannya berotot kerana penurunan pantas ini hanya melibatkan penurunan berat air dan otot!

sumber dipetik dari:- http://my.entertainment.yahoo.com/

Thursday, 9 January 2014

Tips elak senggugut ketika haid

Selalunya ketika kaum wanita datang haid pasti ada yang akan mengalami serangan 'dysmenorrhea' atau lebih dikenali dengan senggugut. Ia boleh dikatakan normal bagi kaum wanita, namun ramai yang merungut apabila diserang senggugut.

Ini kerana kadang-kala serangan senggugut agak serius seperti kekejangan di bahagian otot perut sehingga ada yang hanya mampu terbaring sahaja.

Oleh itu, di sini kami ingin berkongsi dengan golongan wanita di luar sana beberapa tips untuk mengelak daripada diserang senggugut ketika datang haid.

Minum banyak air
Air sangat penting untuk tubuh badan anda. Jadi pastikan anda minum air yang mencukupi sekurang-kurangnya dua liter sehari agar dapat membantu proses penghadaman. Ini sekaligus mencegah penyimpanan air berlebihan dalam badan yang juga disebabkan perubahan hormon pada setiap bulan.

Melakukan senaman ringan
Amalkan melakukan senaman ringan kerana ia dapat meregangkan sel-sel serta otot badan agar tidak berada dalam keadaan tertekan. Anda boleh membuat senaman ringan seperti lompat bintang, hula-hoop atau berjoging.

Ambil makanan berkalsium
Anda juga perlu mengamalkan makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, brokoli, kobis dan yogurt kerana ia dapat mengelakkan kekejangan otot yang kerap melanda ketika awal kedatangan haid. Anda memerlukan kalsium sekurang-kurangnya 1,200 mg setiap hari.

Kurangkan makanan segera dan kafein
Kurangkan memakan makanan segera atau minum minuman berkafein kerana ia akan menyebabkan simptom retensi atau pengumpulan air dalam badan setiap kali waktu kedatangan haid. Ia akan menyebabkan perut anda tidak selesa, manakala kandungan kafein pula akan menyebabkan saluran darah mengecut dan ini akan menyebabkan anda berasa sakit di bahagian abdomen yang boleh menyebabkan kekejangan otot.

Diharap dengan beberapa tips ini dapat membantu anda untuk mengelak dari serangan senggugut ketika datangnya haid. Selamat mencuba!

sumber dipetik dari:-http://my.entertainment.yahoo.com/photos/tips-elak-senggugut-ketika-haid

Laici Kang bagus untuk kesihatan

Laici Kang merupakan minuman kegemaran rakyat Malaysia di waktu petang bukan. Tetapi tahukah anda bahawa Laici Kang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan tubuh badan? Jika anda tidak tahu di sini kami ingin berkongsi dengan anda beberapa khasiat yang anda boleh peroleh dengan menikmati Laici Kang.

Khasiat barli

Menurut satu kajian klinikal di Australia, Kanada dan Amerika Syarikat telah melaporkan bahawa serat daripada barli sangat efektif dalam merendahkan kolesterol dalam darah. Serat yang tidak mudah larut dalam barli adalah penting bagi memastikan usus dapat berfungsi dengan sihat.

Barli juga merupakan sumber baik bagi vitamin B dan sesetengah galian. Kromium sebagai contohnya merupakan galian yang merangsangkan penyejatan glukosa dalam darah. Penyelidik di England melaporkan barli mempunyai kromium yang tinggi dan dikatakan merupakan sumber terbaik kromium. Pesakit diabetes perlu mengawasi tahap gula dalam darah dengan berhati-hati. Jika memakan barli dalam jumlah yang signifikan atau dimakan sebagai makanan tambahan. Hipoglisemia (gula dalam darah rendah) boleh berlaku.

Khasiat buah kembang semangkuk

Buah kembang semangkuk paling popular dijadikan bahan dalam minuman Laici Kang dan airbatu campur. Scaphium macropodum dan scaphium lychnophorum menghasilkan jeli yang terbaik dalam spesis scapium. Buah kembang semangkuk yang direndam di dalam air dan diminum serta dimakan buahnya dipercayai boleh menurunkan panas badan (ketika demam). Air rendaman buah kembang semangkuk ini juga dapat digunakan untuk merawat asma, pendarahan hidung, melawaskan pembuangan air besar, masalah kulit, sakit mata, sakit gigi, kecacingan di kalangan kanak-kanak dan cirit birit.

Kulit pokok kembang semangkuk bersama herba yang lain direbus dan diminum boleh merawat disenteri dan pendarahan rahim. Meminum air rebusan ini juga boleh menolong melawaskan pembuangan air kecil.

Gabungan bahan-bahan ni di dalam air Laici Kang mempunyai khasiat yang sangat bagus untuk kesihatan badan. Cara membuatnya juga sangat mudah. Anda boleh lakukannya sendiri di rumah dan jadikannya sebagai amalan minuman anda. Selamat mencuba!