Jeragat adalah sejenis penyakit kulit yang tidak berbahaya tetapi
kehadirannya menyebabkan kulit wajah seseorang kelihatan tidak sihat,
selain menjejaskan penampilan individu.
Perunding
Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani,
berkata, makna jeragat terlalu meluas dalam kamus perubatan, namun,
masyarakat khususnya orang Melayu mengenali jeragat sebagai tompok hitam
atau pigmentasi pada kulit atau biji hitam seperti tahi lalat yang
bertapak secara berkelompok di beberapa bahagian badan, wajah dan leher.
"Jeragat
bagi pemahaman masyarakat tergolong kepada dua jenis iaitu pigmentasi
(tompok hitam yang leper di dalam lapisan kulit atau biji seperti
ketumbuhan kecil pada
kulit). Masalah pigmentasi adalah seperti melasme, freckles atau solar lentigenes.
"Masalah
biji atau ketumbuhan pula seperti seborrhoeic keratoses (biji hitam
yang timbul seperti tahi lalat yang tumbuh secara berkelompok), actinic
keratoses dan skin tag (lebihan daging berwarna coklat atau hitam) yang
kebiasaannya tumbuh pada leher, muka dan celah ketiak.
"Walaupun
jeragat tergolong sebagai penyakit kulit ia tidak menimbulkan kesan
memudaratkan kecuali kaedah rawatan dan bahan yang digunakan tidak
bersesuaian atau perlakuan fizikal di sekitar kulit berjeragat seperti
mengutil dan mencabut mampu menyebabkan kesan luka, berdarah dan
bernanah pada kawasan bermasalah," katanya.
Beliau berkata, ada
beberapa faktor menyebabkan kulit ditumbuhi jeragat iaitu kesan cahaya
matahari dan faktor genetik. Bagi pengambilan ubat-ubatan seperti pil
perancang pula boleh menyebabkan potensi kulit berjeragat terhadap
individu lebih tinggi.
"Kebiasaannya jeragat menyerang wanita
pertengahan umur seperti 40 tahun ke atas. Tetapi tidak mustahil
golongan awal 20-an juga berdepan dengan masalah ini berikutan jeragat
juga berpunca daripada faktor genetik.
"Bagi wanita yang terdedah dengan cahaya matahari, risiko berdepan kulit berjeragat lebih besar.
"Malah,
masalah pigmentasi juga dikesan daripada pengambilan ubat seperti pil
perancang, amiodarone, bleomycine, chloroquine, antibiotic seperti
minocydine dan lain-lain lagi," katanya.
Dr Norazhah berkata,
jeragat boleh dirawat sama ada dengan menggunakan ubat yang disapu pada
kulit bermasalah atau secara fizikal melalui teknik pembedahan tertentu.
Kesesuaian rawatan bergantung pada jenis jeragat.
Katanya, bagi
jeragat timbul seperti seborrhoeic keratoses, actinic keratoses dan skin
tag, rawatan fizikal adalah cara terbaik manaka penggunaan krim adalah
tidak sesuai.
"Seborrho keratoses boleh dirawat dengan rawatan
fizikal menggunakan electrocautery iaitu alat cautery yang menghasilkan
'heat' (haba) yang berfungsi memusnahkan kelompok bintik hitam berkenaan
atau rawatan Cryotherapy yang menggunakan cecair nitrogen atau rawatan
pembedahan laser.
"Rawatan bagi melasme pula adalah sapuan krim
seperti krim hydroquinone, krim daripada kombinasi hydroquinone,
tretinoin dan steroid, krim isotrenoin atau pengelupasan kimia,"
katanya.
Beliau berkata, melasme sering menyerang wanita kerana
selain daripada pendedahan cahaya matahari dan faktor genetik, melasme
juga berpunca daripada kehamilan atau pengambilan pil perancang.
Katanya,
melasme iaitu pigmentasi atau tompok leper berwarna kelabu atau hitam
yang ada di bawah lapisan kulit ini, kebiasaannya boleh dirawat dengan
rawatan krim, tetapi ada juga pigmentasi yang tebal dan dalam yang
mungkin memerlukan rawatan fizikal untuk mendapatkan hasil yang lebih
baik.
"Bagi mengatasi masalah jeragat, wanita disaran lebih peka
terhadap penjagaan kulit termasuk mengambil langkah pencegahan dengan
menggunakan krim pelindung matahari sekiranya melakukan aktiviti luar
selain mendapat rujukan doktor untuk mengenalpasti penyebab dan rawatan
sesuai.
"Semakin berusia individu itu semakin banyak jeragat yang
timbul pada kulit. Walaupun jeragat adalah penyakit kulit, ia tidak
berbahaya atau mengancam nyawa. Tetapi bagi warga tua yang menghadapi
masalah jeragat serius mereka disaran berjumpa doktor kerana dibimbangi
ia bukan jeragat biasa tetapi sejenis kanser kulit,”. katanya.
sumber dari : http://e-kesihatan.blogspot.com/