Apa yang anda dan bayi anda perlukan semasa menyusui?
Sesetengah
kalori yang diperlukan untuk penghasilan susu badan dibekalkan oleh
simpanan lemak badan semasa kehamilan. Walau bagaimanapun, kalori
tambahan diperlukan melebihi had pengambilan pra-kehamilan anda untuk
memberikan tenaga yang secukupnya untuk membekalkan keperluan bayi anda
yang sedang membesar.
Apabila anda mula
mencerai susu dengan bayi anda, keperluan kalori anda akan kembali ke tahap pra-kehamilan secara perlahan.
Apa yang perlu saya makan semasa menyusui?
Anggap
penyusuan badan sebagai motivasi berterusan untuk mengikuti diet yang
sihat sepertimana yang anda ikuti semasa kehamilan. Fokus ke atas
pengambilan bijiran penuh seperti nasi perang dan bijiran,
buah-buahan dan sayur-sayuran segar dan makanan yang memberikan banyak protin, kalsium dan zat besi (dan seperti biasa, makanan ringan sekali-sekala adalah okay).
Pilih snek yang berkhasiat seperti yogurt, kekacang dan kekeras, telur
dan sandwic yang diperbuat daripada roti gandum penuh. Adalah baik jika
anda menghadkan pengambilan makanan bergoreng dan juga makanan yang
disediakan dengan minyak sapi dan santan kelapa.
Dalam sesetengah komuniti, mungkin terdapat
pantang
terhadap sesetengah jenis makanan untuk bulan pertama atau 44 hari
selepas kelahiran. Walau bagaimanapun, pakar-pakar tetap mengatakan
bahawa anda tidak perlu menghadkan diet anda kecuali bayi anda
menunjukkan tanda-tanda sensitif selepas menyusu.
Minum banyak air untuk mengekalkan bekalan susu anda
Pastikan
anda minum banyak air – lapan sehingga 12 gelas air sehari adalah
mencukupi. Untuk kepelbagaian, anda boleh pilih jus buah-buahan atau
sayur-sayuran, air kurma merah, susu soya tiada gula dan minuman dadeh.
Ini akan membantu badan anda untuk menghasilkan susu yang diperlukan
oleh bayi anda.
Berjaga-jaga dengan apa yang anda makan dan minum
Sila beringat bahawa bahan seperti
kafein,
alkohol dan
toksin lain boleh meresap ke susu badan anda, jadi anda perlu mengelak dari memakannya secara berlebihan.
Nikotin dari
rokok
dan ubat juga boleh masuk ke dalam susu badan anda dan perlu dielakkan
(doktor anda boleh menasihatkan anda mengenai kesesuaian ubat-ubat
tertentu bagi rawatan).
Anda boleh mengetahui jika anak anda sensitif kepada sesuatu yang anda
makan atau minum kerana dia akan menunjukkan ketidakselesaannya dengan
menjadi resah selepas menyusu,
menangis tidak boleh ditenangkan atau
tidak lena tidur. Jika bayi anda
alah kepada sesuatu yang anda makan, anda boleh lihat reaksi pada kulitnya (ruam atau
gatal-gatal), dalam pernafasannya
bunyi berdehit atau kesesakan), atau dalam
najisnya (
warna hijau atau bermukus). Hubungi pakar pediatrik anda untuk nasihat lanjut.
Sesetengah wanita tahu bahawa
makanan berempah atau pedas
akan memberi masalah kepada bayi mereka, jadi proses mencuba adalah
panduan terbaik anda sebab makanan yang merangsang keadaan tidak selesa
berbeza dari satu bayi ke bayi yang lain. Jika anda boleh makan ayam
halia atau sayur kari pedas tanpa membawa masalah kepada bayi anda,
makanlah. Sebagai satu peringatan kepada anda – beberapa punca
kolik yang biasa ialah brokoli, kubis, bawang dan kubis Brussels.
Dapatkan zat besi yang banyak
Jika anda mengambil
vitamin tambahan
semasa anda hamil, anda tidak perlu mengambilnya lagi selepas kelahiran
bayi anda. Walau bagaimanapun, anda mungkin memerlukan zat besi
tambahan.
Ramai wanita telah menggurangkan simpanan zat besi mereka semasa
tahun-tahun subur mereka. Tanyalah pakar obstetrik, doktor keluarga atau
GP anda untuk mendapat nasihat.
Jika anda terus mengambil vitamin tambahan, ingatlah bahawa itu tidak
boleh menggantikan habit pemakanan yang tidak baik. Berusahalah untuk
mengambil diet yang seimbang dan pelbagai.
Bagaimana dengan diet semasa menyusui?
Kurangkan berat badan secara perlahan dengan menggabungkan diet sihat yang rendah lemak dengan
senaman ringan. Penurunan berat badan yang cepat akan membahayakan bayi anda sebab mungkin ini membebaskan
toksin
- yang selalunya disimpan dalam lemak badan – ke dalam aliran darah,
justeru meningkatkan jumlah pencemar yang akan masuk ke dalam susu badan
anda.
Sebagai tambahan, penyusuan juga membantu membakar lemak yang terkumpul
semasa kehamilan dan digunakan untuk menghasilkan susu. Seorang ibu yang
menyusui membakar lebih banyak kalori daripada yang tidak menyusui. Ini
bermakna wanita-wanita yang menyusui boleh turun berat setengah
kilogram sebulan, hanya kerana penggunaan tenaga yang diperlukan untuk
menghasilkan susu.
Adalah baik menunggu 10 bulan sehingga setahun untuk kembali kepada
berat pra-kehamilan anda. Jika anda mahu mengurangkan sedikit
pengambilan makanan anda, tunggu sehingga sekurang-kurangnya enam minggu
selepas kelahiran bayi anda. Menghadkan pengambilan makanan anda pada
minggu awal laktasi akan mengurangkan bekalan susu anda.
http://www.babycenter.com.my/a1029134/