Oleh Dr. Tam Cai Lian
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Petaling Jaya, Selangor"Cikgu
tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak
dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!".
Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada
gurunya.
Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor,
pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima
aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi
masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah
terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi
dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa.
Sejak di
bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa
keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang
gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh
bilangan A yang maksimum. Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang
terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan
emosi di kalangan pelajar.
Ramai di antara mereka disyaki telah
menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga
guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri
Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun
dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.
Selain
itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon
turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang
mengidap penyakit mental setiap hari.
Apabila seseorang menghidap
penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut
Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang
menghasilkan gangguan emosi.
Gangguan emosi ini berterusan
sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta
menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya. Secara
keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan
depresif (
depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (
bipolar disorder).
Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:
Susan
berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa
perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya.
Menurut
aduannya: "Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun
berasa amat letih dan tidak bermaya. Peperiksaan SPM sudah menjelang
tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat
yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa."
Selepas
menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya,
tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat
menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital
pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit
dan membaling barang-barang yang tercapai oleh tangannya ketika menerima
rawatan.
Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi,
Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan
depresi major.
Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap
depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung,
letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu
berterusan.
Selain
itu, aktiviti hariannya turut terjejas. Penyakit depresi merupakan
penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika
Syanikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan
18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).
Kebelakangan
ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar
penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik di sekolah
rendah, menengah ataupun Pusat pengajian tinggi.
Keadaan
sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular
menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan
yang menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi.
Seandainya
seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda dibawah
untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit
depresi major:
- Berasa murung hampir setiap hari.
- Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
- Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
- Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
- Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
- Berasa letih dan tidak bermaya.
- Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
- Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
- Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.
Tanda-tanda
di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan
sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai
di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi
tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina.
Sejak
dari sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan
gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Menurut
fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk
menimbulkan perasaan megah ibu bapa.
Anak-anak kerdil ini
berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa banyak A yang boleh untuk
menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan
tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa
untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.
Penulis pernah
melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat
khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu
peperiksaan.
Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah
rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup
dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja.
Cara
pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya
perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan
generasi muda yang kreatif dan dinamik.
Depresi mempengaruhi
sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit
sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda
lebih tinggi berbanding orang normal.
Penyelidikan pakar
psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi
major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun
pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa
golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih
kerap menghidap penyakit depresi.
Bagaimanapun, anggapan ini
ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap
menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19
tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.
Individu
yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi
untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri
namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering
kali menjayakannya.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam
menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi.
Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu
membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk
menyuarakan pendapat.
Kehidupan keluarga yang porak peranda dan
sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya,
kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat
kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada
serangan penyakit depresi.
Seandainya seseorang anak masih
diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang
lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan.
Melalui
terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa
ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya. Pada hakikatnya,
anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul,
melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira.
Ramai
ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah
amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan
menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menamhah
tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkan
insiden membunuh diri.
Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru
dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam.
Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik
sehingga mengorbankan anak-anak?
Ambillah langkah-langkah yang
positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi
sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tiada gunanya.
sumber dari : http://e-kesihatan.blogspot.com/