Tuesday, 29 April 2014

Pencegahan Radang Ekzema

Pakar dermatologi menyarankan individu yang mudah menghidap ekzema, supaya melindungi kulit mereka daripada terdedah kepada faktor penyebab penyakit itu dengan menggunakan pelembap yang sesuai.

Ekzema adalah penyakit berkaitan genetik yang mana sistem imunisasi individu bertindak keterlaluan terhadap alergen (bahan penyebab alahan) dan menyebabkan kulit mengalami keradangan, iritasi dan bengkak. Dalam keadaan sederhana, ekzema menyebabkan kulit menjadi kering, pedih dan gatal. Bagi kes yang lebih teruk, kulit boleh merekah, melecet dan berdarah.

Perunding kanan dematologi, Dr Steven Chow, berkata di beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat kajian yang dijalankan terhadap kesan ekzema menunjukkan peningkatan kes ekzema mempunyai kesan besar kepada kos kesihatan.

"Melainkan mereka yang mempunyai risiko seperti kanak-kanak mempunyai pelan pengurusan jangka panjang, permintaan bagi rawatan akan terus meningkat oleh kerana kemungkinan pengulangan keradangan, walaupun setelah dewasa. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari akan kepentingan penggunaan pencuci sederhana digabungkan dengan pelembap terhadap anak mereka yang mempunyai kulit sensitif. Rawatan mudah dan kos efektif berguna ini akan membantu mengurangkan pengulangan keradangan," katanya.

Pemerhatian menunjukkan permintaan bagi rawatan ekzema di Malaysia meningkat 20 peratus sejak 2001 yang mana sebahagian besarnya menjejaskan kanak-kanak.

Ekzema atopi diramalkan akan memberi kesan kepada sehingga 14 peratus kanak-kanak yang menunjukkan risiko berkaitan dengan atopi seperti demam alergi dan asma. Beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes adalah seperti peningkatan suhu dan kelembapan disebabkan perubahan cuaca.

Lain-lain faktor termasuklah pencemaran alam sekitar, pelbagai bahan tambahan kimia, bahan cuci kasar, logam dan kosmetik yang boleh mendatangkan kesan alergi kepada individu yang mudah menghidap ekzema.

Dr Chow berkata, kaji selidik bebas yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa 23 peratus daripada individu yang menghidap dermatitis atopi tidak menggunakan pelembap dan 29 peratus tidak menggunakan pencuci yang sesuai. Berdasarkan kaji selidik itu, keputusan yang sama juga dijangka berlaku di negara ini.

"Dengan mengenalpasti dan menghindari penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak sesuai, ahli keluarga dan individu boleh mencapai pengawalan ekzema dalam jangka masa panjang yang juga boleh mengurangkan perbelanjaan mereka dalam penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, perunding dermatologi, Dr Mardziah Alias, berkata penggunaan sabun dan bahan cuci kasar adalah penyebab biasa ekzema kerana ia mengandungi bahan kimia yang boleh menghilangkan kelembapan kulit.

"Produk pencuci yang tidak sesuai akan mengikis lapisan perlindungan semulajadi pada kulit yang sensitif. Ia mengakibatkan kitaran yang menghasilkan tindakan balas yang menyebabkan keradangan," katanya.

Beliau berkata, menggunakan pelembap adalah elemen yang tidak diendahkan dalam penjagaan kulit dan ia sangatlah penting bagi ibu bapa yang prihatin terhadap anak mereka yang mempunyai sejarah ekzema dalam keluarga mereka.

"Kumpulan individu ini perlu memilih pelembap yang tidak mengandungi pewangi atau bahan awet untuk menghindari sebarang iritasi kulit. Paling baik ialah krim yang mempunyai dwifungsi untuk melembap dan pada masa sama sebagai agen anti-keradangan untuk melegakan kulit," katanya.

Oleh itu, katanya, dengan mengikut nasihat doktor, menggunakan produk sesuai dan mengamalkan regim penjagaan kulit yang betul, individu mungkin mampu mengawal ekzema dalam jangka masa panjang.

sumber dari : http://e-kesihatan.blogspot.com/