Oleh ZAITIE SATIBI
Bayangkan ketika membuang air kecil, tiba-tiba kita melihat ada darah
dalam air kencing. Pastinya keadaan itu mencetuskan panik kerana
perkara itu tidak pernah berlaku. Pelbagai persoalan muncul di benak dan
menyebabkan kita risau apa terjadi kepada kita.
Kencing berdarah atau hematuria bukan perkara biasa yang boleh
dipandang ringan. Kehadiran darah dalam air kencing mungkin kecederaan
dalaman akibat melakukan senaman berlebihan atau penggunaan ubatan dan
bahan kimia, tetapi ia juga gejala kepada penyakit lebih serius iaitu
kanser.
Penyakit ini terbahagi kepada dua jenis, dengan yang pertama, darah
dalam air kencing dapat dilihat dengan mata kasar apabila bahan kumuh
itu berwarna merah atau coklat gelap (gross hematuria).
Jenis
kedua pula, darah hanya dapat dikesan menerusi mikroskop oleh
pemeriksaan doktor (microscopic hematuria) selepas pesakit mengadu pedih
dan sakit pada kemaluan ketika membuang air kecil.
Perunding Urologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr Muhilan
Parameswaran berkata, kencing berdarah sebenarnya lebih kepada tanda
bagi masalah kesihatan dan ia menunjukkan jenis penyakit dihidapi.
Oleh itu, perkara terbaik yang harus dilakukan jika menyedari kehadiran
darah dalam kencing ialah segera berjumpa doktor supaya rawatan
sewajarnya dapat dilakukan.
“Rawatan untuk memulihkan kencing
berdarah bergantung kepada punca pendarahan berlaku. Ini kerana,
kadangkala air kencing bertukar merah bukan disebabkan darah tetapi
kerana senaman, pemakanan dan pengambilan ubatan.
“Biasanya,
masalah air kencing berwarna merah akan hilang sendiri beberapa hari
kemudian. Namun, air kencing kita tidak sewenang-wenangnya berdarah
hanya disebabkan pengambilan ubatan atau senaman.
“Jadi, sebaik
menyedari ada darah dalam air kencing, segera berjumpa doktor kerana
penyakit ini memerlukan rawatan perubatan,” katanya.
Kencing
berdarah berlaku apabila organ seperti buah pinggang, saluran tiub
ureter iaitu sambungan tiub dari buah pinggang ke pundi kencing, pundi
kencing, prostat dan uretra bocor dan membenarkan sel darah memasuki air
kencing.
Kebocoran itu pula disebabkan seseorang menghidap
penyakit seperti batu karang, jangkitan di bahagian pundi kencing atau
kencing kotor, bengkak kelenjar prostat, kanser pundi kencing, kanser
prostat dan kanser buah pinggang.
“Jangkitan saluran air kencing berlaku apabila bakteria memasuki tubuh melalui uretra dan membiak dalam pundi kencing.
“Gejala ditunjukkan jika terkena jangkitan seperti kerap membuang air
kecil, rasa pedih seperti terbakar ketika kencing dan bau air kencing
terlalu hancing.
“Bagi wanita pula, jangkitan juga biasanya
disebabkan bakteria dari dubur atau faraj memasuki uretra ke pundi
kencing dan membiak di situ.
“Ini terjadi apabila tabiat mereka
yang suka mengelap dari belakang ke depan selepas membuang air besar,
selain kemaluan wanita disentuh dengan tangan atau zakar yang kotor
selepas melakukan hubungan seks.
“Jangkitan buah pinggang
(pyelonephritis) juga berlaku apabila bakteria memasuki organ itu dari
saluran darah dan memasuki ureter dengan gejala seperti demam dan sakit
rusuk. Sakit batu karang turut menyumbang kepada kehadiran darah dalam
air kenicng.
“Bagi lelaki, semakin mereka berusia, kelenjar
prostat mereka akan membesar atau bengkak dan proses ini mengecilkan
uretra sehingga menyekat aliran air kencing.
“Keadaan ini menyebabkan sama ada sukar membuang air kecil atau keinginan kuat untuk membuang air kecil,” katanya.
Darah dalam air kencing juga boleh berpunca daripada kecacatan dalam
sel darah merah atau seseorang menghidap sel sabit pada anemia, iaitu
kelainan genetik pada tubuh manusia yang diwarisi dari keluarga.
Dr Muhilan berkata, beberapa faktor boleh menyebabkan seseorang
berisiko tinggi mendapat kanser pundi kencing, seperti tabiat merokok
dan pendedahan beberapa jenis bahan kimia seperti bahan digunakan dalam
industri pembuatan tekstil atau pewarna.
Bagaimanapun,
pendedahan dalam jangka masa lama iaitu lebih 10 tahun atau kuantiti
banyak diperlukan untuk membolehkan seseorang pekerja dalam industri ini
mendapat kanser pundi kencing.
Oleh itu, doktor akan
menjalankan ujian atau pemeriksaan bagi mengesan punca kencing berdarah
untuk membolehkan rawatan mana yang sesuai dilakukan.
Perkara pertama dilakukan adalah pemeriksaan fizikal apabila doktor akan menyoal pesakit mengenai sejarah perubatan mereka.
Seterusnya, ujian air kencing akan dilakukan walaupun darah dapat
dilihat secara kasar berikutan darah kadangkala hadir sekali dan jika
keadaan begitu, ia tidak memerlukan penilaian lanjut.
Namun, ujian air kencing boleh menentukan sama ada seseorang itu menghidap jangkitan pundi kencing atau sakit batu karang.
“Kebanyakan pesakit kencing berdarah perlu menjalani ujian imbasan yang
menghasilkan keputusan penuh dan terperinci mengenai masalah dihadapi.
Mereka mungkin boleh menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan)
atau ultra bunyi.
“Malah, doktor juga akan melakukan pemeriksaan
sistoskopi iaitu kamera kecil dimasukkan ke dalam organ melalui tiub
untuk melihat lebih dekat punca masalah. Selepas itu, rawatan bergantung
pada punca kencing berdarah,” katanya.
Bagi kencing kotor atau
jangkitan pundi kencing, mereka boleh dirawat sebagai pesakit luar saja.
Namun jika disebabkan batu karang, ia perlu dibuang untuk mengelak
bengkak pada buah pinggang.
Ada beberapa kaedah membuang batu karang dan ia bergantung pada saiz serta lokasinya.
Begitu juga dengan kanser buah pinggang, kanser prostat dan kanser
pundi kencing apabila doktor akan melakukan pembedahan bagi membuang
organ yang terkena kanser itu. Manakala, kelenjar prostat yang bengkak
jika ia terlalu besar, bahagian yang bengkak juga perlu dibuang.
“Apapun, yang penting bagi mencegah kencing berdarah ini ialah kita
perlu minum banyak air kosong. Walaupun minum air manis, adalah
digalakkan berselang dengan air kosong.
“Jangan tahan kencing dan jaga kebersihan alat sulit bagi mengelak terkena jangkitan akibat bakteria,” katanya.
sumber dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/