Sunday, 6 April 2014

Kencing berdarah bukan perkara biasa

Oleh ZAITIE SATIBI

Bayangkan ketika membuang air kecil, tiba-tiba kita melihat ada darah dalam air kencing. Pastinya keadaan itu mencetuskan panik kerana perkara itu tidak pernah berlaku. Pelbagai persoalan muncul di benak dan menyebabkan kita risau apa terjadi kepada kita.

Kencing berdarah atau hematuria bukan perkara biasa yang boleh dipandang ringan. Kehadiran darah dalam air kencing mungkin kecederaan dalaman akibat melakukan senaman berlebihan atau penggunaan ubatan dan bahan kimia, tetapi ia juga gejala kepada penyakit lebih serius iaitu kanser.

Penyakit ini terbahagi kepada dua jenis, dengan yang pertama, darah dalam air kencing dapat dilihat dengan mata kasar apabila bahan kumuh itu berwarna merah atau coklat gelap (gross hematuria).

Jenis kedua pula, darah hanya dapat dikesan menerusi mikroskop oleh pemeriksaan doktor (microscopic hematuria) selepas pesakit mengadu pedih dan sakit pada kemaluan ketika membuang air kecil.

Perunding Urologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr Muhilan Parameswaran berkata, kencing berdarah sebenarnya lebih kepada tanda bagi masalah kesihatan dan ia menunjukkan jenis penyakit dihidapi.

Oleh itu, perkara terbaik yang harus dilakukan jika menyedari kehadiran darah dalam kencing ialah segera berjumpa doktor supaya rawatan sewajarnya dapat dilakukan.

“Rawatan untuk memulihkan kencing berdarah bergantung kepada punca pendarahan berlaku. Ini kerana, kadangkala air kencing bertukar merah bukan disebabkan darah tetapi kerana senaman, pemakanan dan pengambilan ubatan.

“Biasanya, masalah air kencing berwarna merah akan hilang sendiri beberapa hari kemudian. Namun, air kencing kita tidak sewenang-wenangnya berdarah hanya disebabkan pengambilan ubatan atau senaman.

“Jadi, sebaik menyedari ada darah dalam air kencing, segera berjumpa doktor kerana penyakit ini memerlukan rawatan perubatan,” katanya.

Kencing berdarah berlaku apabila organ seperti buah pinggang, saluran tiub ureter iaitu sambungan tiub dari buah pinggang ke pundi kencing, pundi kencing, prostat dan uretra bocor dan membenarkan sel darah memasuki air kencing.

Kebocoran itu pula disebabkan seseorang menghidap penyakit seperti batu karang, jangkitan di bahagian pundi kencing atau kencing kotor, bengkak kelenjar prostat, kanser pundi kencing, kanser prostat dan kanser buah pinggang.

“Jangkitan saluran air kencing berlaku apabila bakteria memasuki tubuh melalui uretra dan membiak dalam pundi kencing.

“Gejala ditunjukkan jika terkena jangkitan seperti kerap membuang air kecil, rasa pedih seperti terbakar ketika kencing dan bau air kencing terlalu hancing.

“Bagi wanita pula, jangkitan juga biasanya disebabkan bakteria dari dubur atau faraj memasuki uretra ke pundi kencing dan membiak di situ.

“Ini terjadi apabila tabiat mereka yang suka mengelap dari belakang ke depan selepas membuang air besar, selain kemaluan wanita disentuh dengan tangan atau zakar yang kotor selepas melakukan hubungan seks.

“Jangkitan buah pinggang (pyelonephritis) juga berlaku apabila bakteria memasuki organ itu dari saluran darah dan memasuki ureter dengan gejala seperti demam dan sakit rusuk. Sakit batu karang turut menyumbang kepada kehadiran darah dalam air kenicng.

“Bagi lelaki, semakin mereka berusia, kelenjar prostat mereka akan membesar atau bengkak dan proses ini mengecilkan uretra sehingga menyekat aliran air kencing.

“Keadaan ini menyebabkan sama ada sukar membuang air kecil atau keinginan kuat untuk membuang air kecil,” katanya.

Darah dalam air kencing juga boleh berpunca daripada kecacatan dalam sel darah merah atau seseorang menghidap sel sabit pada anemia, iaitu kelainan genetik pada tubuh manusia yang diwarisi dari keluarga.

Dr Muhilan berkata, beberapa faktor boleh menyebabkan seseorang berisiko tinggi mendapat kanser pundi kencing, seperti tabiat merokok dan pendedahan beberapa jenis bahan kimia seperti bahan digunakan dalam industri pembuatan tekstil atau pewarna.

Bagaimanapun, pendedahan dalam jangka masa lama iaitu lebih 10 tahun atau kuantiti banyak diperlukan untuk membolehkan seseorang pekerja dalam industri ini mendapat kanser pundi kencing.

Oleh itu, doktor akan menjalankan ujian atau pemeriksaan bagi mengesan punca kencing berdarah untuk membolehkan rawatan mana yang sesuai dilakukan.

Perkara pertama dilakukan adalah pemeriksaan fizikal apabila doktor akan menyoal pesakit mengenai sejarah perubatan mereka.

Seterusnya, ujian air kencing akan dilakukan walaupun darah dapat dilihat secara kasar berikutan darah kadangkala hadir sekali dan jika keadaan begitu, ia tidak memerlukan penilaian lanjut.

Namun, ujian air kencing boleh menentukan sama ada seseorang itu menghidap jangkitan pundi kencing atau sakit batu karang.

“Kebanyakan pesakit kencing berdarah perlu menjalani ujian imbasan yang menghasilkan keputusan penuh dan terperinci mengenai masalah dihadapi. Mereka mungkin boleh menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau ultra bunyi.

“Malah, doktor juga akan melakukan pemeriksaan sistoskopi iaitu kamera kecil dimasukkan ke dalam organ melalui tiub untuk melihat lebih dekat punca masalah. Selepas itu, rawatan bergantung pada punca kencing berdarah,” katanya.

Bagi kencing kotor atau jangkitan pundi kencing, mereka boleh dirawat sebagai pesakit luar saja. Namun jika disebabkan batu karang, ia perlu dibuang untuk mengelak bengkak pada buah pinggang.

Ada beberapa kaedah membuang batu karang dan ia bergantung pada saiz serta lokasinya.

Begitu juga dengan kanser buah pinggang, kanser prostat dan kanser pundi kencing apabila doktor akan melakukan pembedahan bagi membuang organ yang terkena kanser itu. Manakala, kelenjar prostat yang bengkak jika ia terlalu besar, bahagian yang bengkak juga perlu dibuang.

“Apapun, yang penting bagi mencegah kencing berdarah ini ialah kita perlu minum banyak air kosong. Walaupun minum air manis, adalah digalakkan berselang dengan air kosong.

“Jangan tahan kencing dan jaga kebersihan alat sulit bagi mengelak terkena jangkitan akibat bakteria,” katanya.

sumber dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/