Kita semua tahu yang kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Kolesterol HDL datang untuk membersihkan dinding arteri dari kolesterol LDL. Kita juga diberitahu semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita mendapat penyakit jantung.
Tahukah anda bahawa kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik. Kolesterol LDL dalam keadaan asal adalah baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, bahagian sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL dari makanan, badan kita sendiri akan membuat kolesterol tersebut. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol LDL dalam tubuh anda.
Anda mungkin terkejut atau tidak percaya jika saya katakan kolesterol bukan penyebab penyakit jantung seperti yang selalu digambarkan oleh media. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh dari mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan serangan jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol anda sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.
Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer dari Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan dalam paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain dari itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka.
Kalau dulu dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, kajian-kajian dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Namun begitu kita tidak perlu bersusah hati kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan mengambil bekalan anti-oksidan, asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup.
Rujukan: