Saturday, 25 January 2014

Busuk tapi berkhasiat



Boleh dikatakan ramai yang tidak suka memakan ulam-ulaman kerana ada di antaranya berbau busuk, namun khasiat yang terkandung di dalamnya amat baik untuk tubuh badan dan kecantikan.

Mengamalkan memakan ulam-ulaman memang baik dan keunikan rasanya mampu membuka selera anda. Oleh itu, di sini kami ingin terangkan rahsia di sebalik ulam-ulaman ini.

Jering
Biji jering sangat bagus untuk dimakan kerana ia mengandungi 3.5 peratus protein, 0.1 peratus lemak, 1.7 peratus karbohidrat, kalsium, fosforus, besi, dan vitamin A, B dan C. Bagi pesakit kencing manis, jering boleh menjadi penawar yang berkesan kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Petai
Petai mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding buah hutan yang lain. Selain itu, petai juga mengandungi kalsium, fosforus, zat besi serta kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C. Ia dapat merawat masalah hati, busung, bengkak buah pinggang dan kencing manis. Petai juga dapat membunuh cacing dalam perut serta usus, lalu keluar bersama najis.

Daun petai juga boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai, kemudian airnya diminum. Selain itu, akarnya juga baik untuk rawatan kening manis. Akar direbus kemudian airnya diminum.

Pokok sekentut
Baunya memang kurang menyenangkan malah meloyakan kepada sesetengah orang tetapi daunnya boleh dijadikan ramuan yang melazatkan makanan. Bagi masyarakat Peranakan Baba Melaka, daun sekentut dijadikan ramuan untuk nasi ulam selain daun mengkudu, kaduk, pagaga dan ulam raja.

Dalam perubatan tradisonal pula, daun sekentut digunakan untuk menghilangkan bintik-bintik merah pada kulit bayi. Caranya ialah dengan menumbuk halus daun sekentut lalu diperah untuk mendapatkan airnya. Air perahan itu kemudian disapukan pada tempat yang dijangkiti gatal-gatal atau bintik merah.

Selain itu, daun ini juga dipercayai dapat mengelakkan rambut cepat beruban walaupun pada usia muda. Daunnya dijemur sehingga kering dan kemudian dibakar sebelum direndam dengan air panas. Air rebusan atau air rendaman dilapkan di kepala dan biar kering.

Kerdas
Disebalik baunya yang busuk, ramai yang tidak tahu bahawa buah ini juga berkhasiat dalam membantu anda menjaga kesihatan. Kerdas dipercayai dapat membersihkan buah pinggang, melawaskan kencing, mengelakkan penyakit kencing manis serta awet muda.