Tuesday, 26 April 2016

Manfaat Teh yang patut diketahui oleh semua


Menikmati teh bukanlah suatu yang asing bagi sebahagian penduduk dunia. Teh menjadi pilihan untuk dinikmati tidak kira waktu pagi, petang ataupun malam dari tempat mewah hingga ke warung-warung di tepi-tepi jalan.

Bagi sesetengah bangsa, minum teh dijadikan sebagai budaya dalam majlis atau upacara kehormatan. Contohnya, pasangan pengantin Buddha mempersembahkan minuman teh kepada ibu bapa mereka sebagai sebahagian daripada upacara perkahwinan.

Bangsa Inggeris mempunyai kebiasaan minum teh pada waktu petang. Tradisi yang dipanggil ´evening tea´ ini kebiasaannya dilakukan sekitar jam 5.00 petang. Segala kegiatan apabila masuk waktu tersebut perlu dipenuhi dengan acara minum teh.

Dikatakan amalan ini diperkenalkan oleh Duchess of Bedford pada tahun 1788. Beliau mengundang teman-temannya untuk minum teh pada setiap pukul 5.00 petang di Belvoir Castle. Kebiasaan itu pula dilakukan oleh teman-temannya bersama keluarga mereka. Maka tersebarlah tradisi minum teh pada waktu petang.

Manakala istilah ´teh tarik´ pula begitu sinonim dengan rakyat Malaysia. Teh tarik ialah teh yang dicampur dengan susu, kemudian dituang dari satu gelas ke gelas yang lain setinggi mungkin seperti air yang sedang ditarik. Dikatakan Marie de Rabutin Chantal dan Marquise de Seven adalah antara orang yang pertama yang mencampurkan susu ke dalam teh.

Pada tahun 760 M, seorang Cina bernama Lu Yu telah menulis buku pertama yang memuatkan tentang tatacara minum teh berdasarkan agama Buddha Zen. Tatacara ini kemudiannya dibawa dan diperkenalkan oleh pendeta Buddha Zen ke Jepun bersama-sama dengan daun teh.

Justeru, sejak lebih 500 tahun, masyarakat Jepun terkenal mempunyai upacara minum teh yang khas dan unik. Malah, tradisi itu diajar di sekolah dan menjadi sebahagian dari kurikulum pendidikan mereka. Di Jepun, teh juga digunakan sebagai minuman penenang ketika bermeditasi.

Teh diolah dengan pelbagai aroma dan campuran seperti teh halia, teli herba, teh hijau, teh chamomile dan lain-lain menjadikan ia bertambah enak untuk dinikmati.

Teh hitam berwarna hitam kerana melalui proses pengoksidan. Bahan kimia yang terdapat di dalam daun teh ini, iaitu tannin bertindak balas dengan udara. Apabila dibancuh, warna air ini akan menjadi kemerah-merahan. Setakat ini, teh ini menjadi pilihan paling popular di Barat.

Manakala teh hijau sangat popular di benua Asia. Dalam menghasilkan teh, daunnya yang kering akan dikukus untuk memusnahkan enzim yang terlibat dalam proses pengoksidaan. Teh ini mempunyai rasa yang agak pahit.

Mengikut sejarah, daun teh ditemui oleh seorang pedagang China bernama Shen Nong pada tahun 2737 SM ketika beliau dalam satu perjalanan. Sampai di sebuah hutan, ketika sedang berehat, salah seorang pembantunya memasak air.

Tiba-tiba jatuh sehelai daun ke dalam air yang sedang dimasak lalu mengeluarkan warna kecoklatan. Apabila diminum, badan pedagang itu menjadi segar selepas perjalanan yang jauh. Lalu, pokok yang mempunyai daun itu dibawa pulang dan tanamannya diperkembangkan.

Teh yang diperoleh dari China dibawa ke Eropah terutama Belanda dan Perancis oleh pedagang-pedagang Portugis. Bagi sebahagian masyarakat Belanda pada ketika itu, teh dijadikan minuman kalangan bangsawan sahaja.

Di sebalik kenikmatan dan kelazatan teh, terkandung juga khasiat yang menyihatkan badan dan mampu mencegah dari serangan penyakit terutama sekali teh hijau. Banyak kajian telah membuktikan antioksidan yang terdapat dalam teh dapat melindungi tubuh daripada penyakit tertentu seperti masalah kardiovaskular, stroke dan kanser. Flanovoid iaitu sejenis antioksidan yang terdapat dalam 3 cawan teh adalah lapan kali lebih kuat dari yang diperoleh daripada sebiji epal.

Satu kajian telah dilakukan di daerah Schizouka, Jepun pada tahun 1994. Hasilnya, kadar kematian masyarakat di situ 10 hingga 15 peratus lebih rendah dibandingkan dengan kadar kematian di daerah Jepun yang lainnya. Penyebabnya adalah kerana penduduk di situ lebih suka minum teh hijau secara teratur ditambah lagi dengan keadaan alam semulajadi yang masih terpelihara.

Radikal bebas terbentuk secara semulajadi dalam tubuh manusia. Molekul ini dapat merosakkan sel manusia. Molekul inilah yang menjadi salah satu penyebab kanser, termasuk berbagai jenis penyakit lain seperti jantung dan penuaan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Cellular Biochemistry edisi Julai, kandungan polifenol yang terdapat dalam teh berperanan sebagai pencegah kanser. Daun teh hijau yang telah dikeringkan mempunyai 40% kandungan polifenol.

Polifenol adalah sejenis antioksidan yang sangat kuat yang mana ia mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi penyebab kanser. Antara jenis kanser yang boleh dicegah ialah kanser payudara, kanser paru-paru, kanser usus besar, kanser dubur, kanser hati dan kanser pankreas.

Berikut disenaraikan khasiat teh hijau secara ringkas :
• Membantu membakar lemak
Teh hijau dapat membantu mempercepat tingkat metabolisme kerana pengaruh antioksidannya yang membantu hati berfungsi secara lebih efektif.

• Melindungi daripada hepatitis
Hepatitis diukur dari tingginya kadar zat besi dalam hati. Teh hijau terbukti dapat menurunkan kadar zat besi di dalam badan.

• Melindungi daripada diabetes
Tingginya glukosa dan insulin dalam darah boleh menjadi penyebab diabetes. Polifenol dari teh hijau menghalang ´amylase´ sehingga dapat membantu menurunkan kadar gula dalam darah.

• Mencegah keracunan makanan
Minum teh hijau dapat menurunkan risiko keracunan makanan akibat bakteria kerana teh hijau dapat mencegah tumbuhnya bakteria berbahaya seperti ´clostridia´.

• Menurunkan tekanan darah
Penyebab utama hipertensi adalah sejenis enzim yang dikeluarkan oleh ginjal. Ubat hipertensi yang terkenal ialah ´ACE inhibitor´. Teh hijau merupakan ´ACE inhibitor´ semulajadi dan beberapa kajian menunjukkan tekanan darah tinggi menurun setelah diberi ekstrak teh hijau.

Sekalipun memiliki banyak manfaat, perlu diingat bahawa teh juga mengandung kafein. Jika diambil secara berlebihan, ia dapat menyebabkan beberapa gangguan seperti insomnia, berdebar hati dan ketidakaturan detik jantung. Namun kandungan kafein dalam teh masih tetap lebih rendah jika dibandingkan dengan kopi atau minuman ringan bersoda.

Selain kafein, antioksidan flanovoid yang terdapat dalam teh menghambat penyerapan zat besi dari unsur-unsur tumbuhan seperti sayur dan buah. Namun, zat besi dari daging tidak terpengaruh penyerapannya. Sekadar peringatan, apapun yang berlebihan tidak akan baik kesannya. - sumber utaranews.com/