Serangan panik adalah serangan
yang berlaku secara luar kawal dan juga secara tiba-tiba. Panik sebenarnya
bukan sesuatu yang berbahaya. Namun perubahan fisiologi dan metobolisma badan
terhadap panik boleh mengakibatkan kejadian tidak diingini. Panik sering
terjadi kepada wanita, tetapi lelaki juga boleh mengalami serangan panik.
Ia sering berlaku kepada mereka berusia awal
20-an. Peringkat umur lain juga berisiko. Dalam kebanyakan kes, ia disebabkan
perasaan takut akibat serangan jantung, kehilangan sesuatu atau fobia. Antara
punca utama panik adalah tekanan emosi terutamanya emosi antara manusia.
Dalam keadaan panik, pernafasan
pesakit menjadi laju dan tidak menentu. Ini menyebabkan pertukaran oksigen
dalam udara dan karbon dioksida dalam badan menjadi tidak selaras.
Ini mengakibatkan simptom lain seperti
degupan jantung pantas, anggota badan menjadi kebas, pening, berpeluh, sakit
dada dan adakalanya pengsan atau pitam.
Perkara pertama perlu dilakukan ketika
melihat seseorang itu panik ialah memberi ruang dan juga sokongan agar pesakit
tenteram. Pesakit hendaklah duduk serta mengawal pernafasan dengan baik.
Ini
untuk mengelakkan komplikasi kurang udara ke otak dan jantung yang boleh
menyebabkan pengsan, sawan atau serangan jantung.
Jika keadaan tidak dapat dikawal, pesakit
perlu dibawa segera ke hospital. Ini penting untuk memastikan tiada sebab lain
serangan panik terjadi.
Selain itu, berikan bantuan sesuai kepada
pesakit jika perlu untuk memastikan keadaan pesakit stabil.Beberapa ujian darah
dan pemeriksaan jantung atau elektrokardiogram (ECG) perlu dilakukan untuk
memastikan serangan panik bukan disebabkan masalah kesihatan yang perlu dirawat
segera.
Dalam situasi panik, individu yang berada
bersama pesakit memainkan peranan penting dalam memberikan rawatan awal, iaitu
dengan memberi bantuan emosi.
Jika tidak,
komplikasi seperti pengsan, sawan dan juga serangan jantung boleh berlaku serta
merta. Oleh itu, pesakit perlu ditenangkan agar komplikasi tidak diingini tidak
berlaku.
sumber : hmetro.com.my