Saturday, 24 August 2013

VITAMIN DAN KESIHATAN 2: SIAPA PATUT MENGAMBIL MAKANAN TAMBAHAN DAN MENGAPA ?



MULTIVITAMIN DAN KESEIMBANGAN HORMON.

Badan kita memerlukan mikronutrin yang digunakan untuk membentuk hormon-hormon dari molekul yang kecil. Kita hampir tidak mungkin untuk mendapat keseimbangan hormon jika tanpa faktor mikronutrin ini. Kita umpamakan keseimbangan hormon ini seperti sebuah simfoni di dalam badan yang dihasilkan melalui permainan alat-alat musik okestra untuk menghasilkan kesihatan.  Apabila seorang dari pemain alat musik ini tidak ada, simfoni yang dihasilkan itu akan menjadi cacat dan anda berasa tidak sihat.

Ingat, hormon badan kita akan naik dan turun mengikut keadaan. Tahap hormon kortisol dan adrenalin akan turun naik jika kita di dalam keadaan stres atau sebaliknya. Tahap hormon insulin yang stabil adalah penting untuk hormon2 badan berkomunikasi. Apabila bahan nutrin adalah rendah ataupun tiada, keseimbangan ini akan terganggu.

MENGAPA PEMAKANAN BIASA TIDAK MENCUKUPI.

Di Amerika, pengambilan makanan dianggap mencukupi tetapi penyakit kronik sangat tinggi, ini adalah gambaran bahawa kuantiti sahaja tidak mencukupi jika kualiti makanan itu tidak dijaga. Malah kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa sememangnya makanan yang diambil itu tidak mengandungi cukup nilai-nilai tinggi bahan nutrisi seperti vitamin dan mineral. Inilah punca meningkatnya penyakit kronik. Kita juga dapat melihat berlakunya peningkatan penyakit-penyakit kronik di kalangan mereka yang lebih muda. Contohnya penyakit diabetes dan darah tinggi yang mula dihidapi oleh anak2 muda….ini banyak dikaitkan dengan meningkatan rintangan hormon insulin (“insulin resistance”) yang disebabkan oleh makanan moden hari ini.
 Ramai di kalangan kita tidak mengambil makanan yang mempunyai nilai nutrisi mencukupi. Kita mengambil makanan yang “bukan bahan makanan” ….makanan segera, makanan yang diproses berlebihan, makanan yang tinggi gula , karbohidrat , bahan pengawit dan kuantiti lemak tepu yang tinggi. Kita mengambil banyak bahan peransang yang mengganggu keupayaan sistem penghadaman kita menyerap vitamin dan mineral.


Sebab-sebab lain adalah, kaedah penangkapan ikan dan perladangan/pertanian kita telah berubah secara drastik (mendadak). Pada masa lalu, hasil tuaian adalah dari bahan nutrin asli yang diperolehi dari tanah yang tidak tercemar dan jika ikan pula diperolehi dari laut yang bersih, tanpa keracunan dan kontaminasi. Sekarang kita menggunakan racun serangga, baja inorganik dan air yang tercemar untuk menghasilkan tanaman yang tumbuh cepat dan dapat dituai dengan pantas. Kaedah ini berjaya menghasilkan tanaman yang besar2, berwarna-warni tetapi kekurangan nilai nutrisi/pemakanan, malah ia mungkin boleh memudharatkan…tidak kurang juga yang sudah kehilangan rasa yang enak.

Kajian telah menunjukkan bahawa, tanaman yang dihasilkan secara organik bukan sahaja bebas dari bahan toksin yang tidak diperlukan oleh badan kita, tetapi ianya juga mengandungi bahan mikronutrin (vitamin, mineral etc) yang berkualiti tinggi. Sebagai contoh, penggunaan baja organofosfat secara rutin selama lebih 50 tahun telah menyebabkan kurang kandungan kalsium di dalam sayuran brakoli yang di tanam secara konventional. Pengurangan kandungan kalsium ini dikatakan kurang sehingga tinggal satu per-enam dari kandungan asal semasa tahun 1950 an. Walau bagaimanapun selagi masyarakat kita meletakkan wang sebagai tumpuan utama, kita perlu membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan bahan2 makanan organik ini yang tentu sekali mampu dimiliki oleh segelintir orang. Dengan keadaan ini, pengambilan makanan tambahan nampaknya satu alternatif yang baik.

Kita juga mengimpot makanan dari tempat yang jauh, jadi makanan ini perlu menjalani berbagai-bagai proses seperti pembungkusan, pembalutan, semburan bahan kimia untuk mencegahnya dari menjadi busuk dan layu.

Faktor yang seterusnya adalah amalan mengurangkan berat badan melalui pemakanan. Hampir separuh dari penduduk Amerika sedang mengamalkan salah satu kaedah mengurangkan berat badan. Banyak kaedah-kaedah ini “merompak” bahan nutrin yang diperlukan oleh badan. Dan pemakanan yang bersifat yo-yo yakni kurang berat badan dan naik berat badan yang berlaku berulang-ulang kali secara bergilir2 akan meningkatkan tekanan atau stres kepada badan kita.

KAITAN DI ANTARA STES DAN NUTRISI.

Di atas kaedah pemakanan yang mengelirukan, badan kita mungkin akan mengalami stres yang di luar kawalan. Stres yang dialami ini bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga emosi dan psikologikal.

Mari kita mulakan dengan isu alam sekitar. Bahan kimia toksik, pencemaran udara, radiasi, polimer tiruan, hormon di dalam daging serta susu, racun serangga dan klorin di dalam air minuman adalah di antara banyak lagi akibat kerakusan manusia di dalam mencemarkan alam sekitar. Hamburger di dalam makanan segera didapati mengandungi racun serangga. Malah dengan memasukkan makanan  yang disimpan di dalam bekas plastik ke dalam ketuhar gelombang mikro boleh menukar makanan kita kepada toksin. Daripada apa-apa sumber sekalipun, bahan-bahan kimia ini akan memberi tekanan kepada organ hati untuk menyahtoksikkan bahan2 ini. Proses menyahtoksikkan (detoxifying) ini akan menggunakan beberapa bahan nutrin penting yang disimpan.

Kita juga sering mengalami stres semasa menjalani kehidupan harian….stres dari anak2, pasangan kita, tempat kerja, rakan, ibubapa dan lain2. Stres dikatakan boleh mengurangkan simpanan bahan-bahan nutrin dan juga sistem pertahanan badan. Stres meningkatkan kandungan hormon kortisol, dan tahap kortisol yang sentiasa tinggi boleh memudharatkan badan dan otak.

Jadi stres boleh menambahkan kesan buruk yang dibawa oleh pengambilan makanan yang tidak sihat terutamanya makanan yang diamalkan oleh orang2 Barat. Jika kekurangan zat makanan berlaku secara mendadak, kita akan mengalami sakit dengan cepat. Tapi seringkali kekurangan zat makanan akan memudharatkan badan kita secara perlahan-lahan, sedikit demi sedikit. Akhirnya kita akan mula menunjukkan tanda2 proses ketuaan yang lebih cepat dan menghidapi penyakit kronik. Masalah kita akan kekal malah boleh menjadi semakin parah sehingga kita mengamalkan pengambilan bahan nutrin yang mencukupi. Inilah sebabnya mengapa pengambilan makanan tambahan boleh memberi impak yang positif ke atas kehidupan kita.

FUNGSI AMALAN PENGAMBILAN MAKANAN TAMBAHAN.

Kajian yang dilakukan pada tahun 2002 yang diterbitkan oleh Journal of The American Medical Association menyatakan bahawa kekurangan sesuatu vitamin adalah faktor risiko kepada berlakunya penyakit kronik dan ini adalah sesuatu fenomena yang sering berlaku ke atas masyarakat kita. Laporan itu selanjutnya mengatakan bahawa kebanyakan orang ramai tidak mengambil kuantiti vitamin yang mencukupi di dalam makanan mereka.  Ini menunjukkan betapa amalan pengambilan makanan tambahan adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan kepentingannya.