Wanita asia tidak asing lagi terbukti memiliki kecantikan semulajadi yang cukup menawan. Apatah lagi warisan nenek moyang kita banyak meninggalkan amalan-amalan kecantikan dan petua tradisional sebagai panduan sehari-hari.
Melihat kecantikan asli yang dimiliki wanita dari Thailand yang terkenal dengan gajah putihnya itu pasti membuatkan ramai yang cemburu. Mungkin negara itu cukup terkenal sebagai negara yang menawarkan khidmat pembedahan plastik dengan kos yang murah tetapi rata-rata wanita tempatan sememangnya memiliki kecantikan asli hasil amalan petua nenek moyang.
Mari kita lihat apakah amalan rahsia mereka sehingga memiliki kecantikan asli yang tiada tolok bandingnya.
BETIK
Wanita Thailand gemar menggunakan betik sebagai 'masker' untuk memberi kesan segar pada wajah. Betik mengandungi agen anti oksida dan kaya dengan khasiat semulajadi seperti vitamin C dan E. Kedua-dua jenis vitamin ini dapat melawan radikal bebas yang menyebabkan kedutan. Betik juga membantu kulit menjadi cerah berseri dan bebas cela.
SANTAN KELAPA
Jangan ingat santan kelapa hanya digunakan dalam masakan sahaja. Kebijaksanaan wanita Thailand terserlah dengan bijak memanfaatkan khasiat santan kelapa dengan mengamalkan mandian santan kelapa untuk mengekalkan kelembapan dan keanjalan kulit. Selain daripada untuk kulit, mereka juga menggunakan santan kelapa dalam proses perawatan rambut. Ia membantu mendapatkan rambut yang sihat dan lebat.
DIET PEMAKANAN
Diet yang sihat turut membantu wanita Thailand mendapatkan kulit yang berseri dan tubuh badan yang langsing. Fokus utama mereka dalam amalan diet pemakanan yang sihat ialah pengambilan sayur-sayuran dan rempah ratus. Sayur-sayuran kaya dengan vitamin dan membantu anda mengekalkan kelangsingan tubuh badan.
KUNYIT
Sama seperti betik, kunyit turut mengandungi agen anti oksida yang dapat melawan radikal bebas. Wanita tempatan Thailand mengamalkan mencuci muka dengan serbuk kunyit untuk mendapatkan kulit wajah yang licin berseri dan bebas jerawat. Anda juga boleh amalkan sendiri. Basahkan tapak tangan dengan air dan ambil serbuk kunyit. Jadikannya sebagai skrub dengan menyapu pada wajah anda serbuk kunyit tersebut selama 5-10 minit.
BERAS
Bercakap mengenai beras dan negara Thailand, anda pasti tahu akan produk kecantikan berasaskan susu beras dari Thailand yang terjual bak pisang goreng panas kini. Sememangnya beras terbukti mencantikkan dan menjadikan kulit wajah putih berseri. Inilah rahsia sebenar wanita Thailand apatah lagi negara itu merupakan pengeluar beras terbesar di Asia Tenggara. Wanita Thailand memproses sendiri secara tradisional beras tersebut sehingga menjadi susu dan digunakan untuk merawat kulit. Beras mengandungi vitamin E yang membantu memutihkan kulit wajah dan badan.