Tidak semestinya kurus itu sihat. Lemak yang mengelilingi organ penting
seperti jantung, hati dan pankreas - yang tidak boleh dilihat dengan
mata kasar - sama bahayanya dengan lemak yang menjadi sebahagian bentuk
badan orang gemuk.
"Kurus tidak bermakna secara automatik anda
tidak gemuk," kata Dr Jimmy Bell, Profesor Imbasan Molecular di Kolej
Imperial, London. Sejak 1994, Bell dan rakan setugasnya mengimbas lebih
800 orang bagi menghasilkan 'peta gemuk' bagi mencari di mana lemak
tersimpan.
Menurut data yang diperoleh Bell, mereka yang
mengekalkan berat badan melalui diet, memiliki lebih banyak lemak
walaupun pada mata kasar mereka kelihatan kurus. Senario ini lebih
bahaya kerana orang kurus selalu berasa mereka sihat kerana tidak gemuk.
Sebelum
ini, orang kurus dianggap lebih aktif dan sihat, tetapi menjadi orang
kurus yang tidak cergas juga sama tinggi risikonya dengan mereka yang
obes dan tidak aktif. Begitupun, berita baiknya lemak pada bahagian
dalam boleh dibakar melalui senaman atau memperbaiki pengambilan diet.
"Jika
mahu kelihatan kurus, diet memang sudah mencukupi, tetapi untuk menjadi
kurus dan sihat, senaman adalah komponen gaya hidup terpenting," kata
Bell.
Daripada 800 responden, Bell mendapati 45 peratus yang
memiliki BMI antara 20 hingga 25 orang memiliki lebih banyak lemak
tersimpan. Daripada jumlah itu 60 peratus adalah lelaki. Senario itu
yang dinamakan sebagai TOFIs — 'thin outside, fat inside'. "Lebih kurus
seseorang itu, lebih besar kejutannya," katanya.
Mereka yang
kurus selalunya lebih banyak makan makanan berlemak, makanan bergula dan
tidak bersenam, tetapi jumlah pemakanan itu tidak cukup banyak untuk
membuatkan mereka gemuk dari segi penampilan.
Saintis percaya
tubuh menyembunyikan lemak pada bahagian dalam dahulu sebelum lemak
'muncul' pada bahagian lain seperti perut. Begitupun, masih ramai pakar
percaya BMI adalah ukuran tepat untuk kesihatan yang baik.
Pakar
pemakanan dari Majlis Penyelidikan Perubatan BrItain (MPPB), Dr Toni
Steer, berkata pakar perubatan tidak pasti mengenai bahaya lemak pada
bahagian dalam tetapi sesetengah pakar meramalkan ia boleh menyumbang
kepada risiko serangan jantung dan diabetes, ini berdasarkan teori lemak
pada bahagian dalam mengganggu sistem komunikasi. Lemak yang
menyelaputi organ dalaman mungkin menghantar isyarat kimia badan yang
salah untuk menyimpan lemak di dalam organ seperti hati dan pankreas. Ia
boleh membawa kepada masalah penolakan insulin (diabetes jenis 2) atau
serangan jantung.
"Menjadi seorang yang kurus tidak bermakna dia
kebal pada serangan diabetes atau tidak berisiko pada serangan jantung,"
kata Dr Loius Teichholz dari Hackensack Hospital, New Jersey.
Teichholz berkata, mereka yang memiliki jisim berat badan normal juga boleh memiliki tahap lemak 'tersimpan' yang memeranjatkan.
sumber : http://e-kesihatan.blogspot.com/