Gonorea ialah sejenis penyakit kelamin yang berjangkit
melalui hubungan seks yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria
gonorrhoeae. Bakteria ini hidup dan mudah membiak dengan cepat di dalam saluran
reproduksi wanita seperti serviks, rahim, salur Fallopio bagi wanita dan juga
saluran kencing bagi wanita dan lelaki. Bakteria ini juga boleh membiak di
dalam mulut, kerongkong, mata dan dubur.
Penyakit gonorea
yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan masalah yang serius dan
kerosakan kekal pada kesihatan wanita dan lelaki yang dijangkiti. Bagi wanita,
gonorea ialah penyebab utama masalah penyakit radang pelvis (pelvic
inflammatory disease, PID).
Penyakit tersebut
kadang-kadang tidak menunjukkan apa-apa simptom, namun ianya boleh
mengakibatkan kerosakan kekal pada salur Fallopio, rahim dan tisu-tisu di
sekelilingnya. Kerosakan ini boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada
pelvis, masalah ketidaksuburan (infertiliti) dan kehamilan luar rahim
(kehamilan ektopik).
Diagnosis
dan Rawatan
Terdapat beberapa
cara ujian makmal yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan gonorea bagi
lelaki dan wanita. Ujian air kencing atau ujian darah atau mengambil sampel
dari kawasan jangkitan seperti bahagian serviks, uretra, kerongkong, dubur dan
penis ialah cara untuk mengesan kehadiran bakteria ini. Pemberian beberapa
jenisantibiotik yang tertentu dapat menyembuhkan gonorea.
Walau bagaimanapun,
bakteria yang mengakibatkan gonorea semakin rintang atau tahan resistan
terhadap ubat-ubatan biasa dan ini menyukarkan proses rawatan. Memandangkan
kebanyakan mereka yang dijangkiti gonorea turut dijangkiti klamidia, antibiotik
untuk kedua-dua penyakit kelamin ini akan diberikan serentak. Antibiotik yang
boleh diberikan adalah Ceftriaxone (Rocephin), Azithromycin dan Doxycycline.
Pengambilan
antibiotik harus dihabiskan mengikut arahan doktor. Walaupun terdapat
ubat-ubatan dapat menyembuhkan gonorea tetapi kerosakan yang berlaku tidak
dapat dirawat. Mereka yang pernah dijangkiti dan telah sembuh daripada
jangkitan gonorea, boleh mendapat semula penyakit ini jika mereka melakukan
hubungan seks dengan mereka yang dijangkiti penyakit yang sama.
sumber : utusan.com.my