JANGAN abaikan atau memandang remeh jika mengalami sakit bahu. Masalah
ini kerap dihadapi mereka yang bekerja keras, atlet atau buruh kasar.
Mengangkat berat dan melakukan kerja-kerja yang
memerlukan sepenuh tenaga terutama pada bahagian bahu mungkin boleh menyebabkan
mereka mengalami masalah ini.
Mungkin pada masa muda sakitnya tidak akan terasa,
tetapi semakin berusia, sakit yang dirasai semakin bertambah sehingga tangan
sukar hendak digerakkan atau dipusingkan.
Perunding Ortopedik Hospital Pantai Cheras, Dr. R.G. Sivalingam berkata, pesakit yang mengalami
masalah seperti ini biasanya disebabkan oleh urat pada bahu (rotator cuff)
terkoyak kerana faktor usia.
Sebab itu, masalah
ini lebih banyak dan ketara dialami warga emas. Bagi menghilangkan kesakitan
yang dialami pesakit, pembedahan superior kapsular rekonstruktif akan
dilakukan.
Menurut Dr.
Sivalingam, bukan semua orang yang mendapat masalah ini dan biasanya yang
menghidapinya ialah mereka yang bekerja mengikut cara manual seperti menoreh
getah, petani, mencuci kain dan sebagainya.
Katanya, tiada
golongan spesifik kerana baik lelaki mahupun perempuan berisiko mengalami
masalah ini. Kebiasaannya mereka yang berumur di antara 50 tahun hingga 60
tahun.
Pembedahan yang
dilakukan ke atas golongan yang berusia pula memerlukan kos yang tinggi,
berisiko dan lebih rumit.
“Apabila urat pada
bahu terkoyak, tiada lagi tisu perantara antara tulang kipas dengan tulang
lengan. Tulang lengan akan menjadi botak apabila tisu terkoyak.
“Ini akan
menyebabkan tulang kipas (acromion) dan tulang lengan berlaga atau bergesel dan
menyebabkan kesakitan. Simptom biasa yang akan dialami pesakit ialah mereka
tidak boleh tidur mengiring pada bahagian bahu tersebut.
“Rasa sakit akan
dirasai bermula dengan lenguh menyebabkan pesakit kerap terjaga pada waktu
malam. Apabila penyakit bertambah teruk, mereka tidak boleh tidur langsung.
“Sebaik-baiknya
datang awal berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Doktor akan memeriksa dan
berkemungkinan boleh dirawat semula urat ini. Bagaimanapun jika lewat berjumpa
doktor pesakit mungkin memerlukan pembedahan superior kapsular rekonstruksi.
“Enam tahun lalu,
Malaysia dan negara-negara luar cuma mempunyai kepakaran pembedahan pertukaran
sendi atau reverse shoulder replacement, tetapi masalahnya kaedah ini cuma
bertahan selama lapan hingga 10 tahun sahaja,” katanya semasa ditemui di
Hospital Pantai Cheras baru-baru ini.
Tambahnya, bagi
pesakit yang masih muda dan banyak menggunakan pergerakan pada tulang lengan,
pembedahan yang telah dibuat tidak dapat bertahan lama.
Menjelaskan
mengenai pembedahan superior kapsular rekonstruktif ini, kata Dr. Sivalingam,
pembedahan ini sudah mula dilakukan pada tahun 2014.
Pembedahan pertama
berjaya dijalankan oleh Dr. Mihata dari Universiti Osaka, Jepun.
Setakat dari tahun
2007 hingga 2009 seramai 24 orang pesakit sudah dibedah. Ini menunjukkan
pembedahan superior kapsular rekonstruktif ini sangat berjaya dan menjimatkan kos
berbanding pembedahan pertukaran sendi.
Menurut beliau,
kejayaan pembedahan ini sudah mula diterima masyarakat Malaysia sejak 2015.
Pembedahan pertama
yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur menunjukkan kejayaan yang membanggakan
apabila pesakit tersebut sudah boleh mengangkat tangan selepas enam bulan
dibedah.
Dr. Sivalingam,
yang setakat ini sudah melakukan enam pembedahan serupa di HKL berkata,
pembedahan yang dilakukan menggunakan prosedur arthroskopi, melalui kamera.
Doktor akan
menebuk empat atau lima lubang pada tempat yang hendak dibedah. Tisu yang koyak
akan digantikan dengan dermal tisu daripada penderma tisu.
Satu lagi cara
lain ialah dengan mengambil tisu fascialata daripada paha pesakit. Tisu
fascialata akan dijahit pada tulang yang botak itu.
Pembedahan yang
dilakukan di hospital kerajaan dengan menggunakan tisu penderma menelan kos
sehingga RM25,000, tetapi jika dilakukan di hospital swasta kosnya ialah dua
kali ganda, iaitu kira-kira RM50,000.
“Kebaikan
pembedahan yang mengambil masa selama tiga jam ini ialah pesakit tidak berasa
sakit. Jika ada jangkitan kuman pun tidak sampai satu peratus. Tempoh sembuh
pula mengambil masa selama tiga minggu dengan pesakit perlu memakai anduh.
“Dalam tempoh
tersebut pesakit hanya boleh melakukan gerakan tangan kepak ayam antara 70
hingga 90 darjah sahaja.
“Pergerakan pusing
hanya dapat dilakukan selepas tiga minggu. Pada awalnya pergerakan pusing
dilakukan dengan mengampu tangan yang dibedah menggunakan tangan yang satu
lagi. Selepas enam minggu baru pergerakan sepenuhnya boleh dilakukan,” katanya.
Jelasnya lagi,
selepas tempoh tersebut fungsi tangan akan kembali seperti asal.
Pesakit sudah
boleh mengangkat barang berat, boleh bermain badminton, tenis dan sebagainya.
Beliau berkata,
pembedahan ini berbaloi dilakukan kerana dapat bertahan lama dan sendi asal dikekalkan.
Selain itu, tisu
yang digantikan dapat bertahan lama.
Bagaimanapun,
pembedahan superior kapsular rekonstruktif tidak dapat dilakukan jika sendi
pesakit telah rosak seperti disebabkan oleh artritis teruk. Kes sebegini memang
memerlukan penukaran sendi.
Katanya, di
Malaysia, pembedahan sendi bahu masih boleh dirawat dan hasilnya adalah bagus.
Justeru itu, jangan abaikan bahu. Jika mengalami sebarang masalah bahu,
berjumpalah doktor yang bertauliah.
sumber : utusan.com.my