MAKANAN belum diproses yang mengandungi kandungan lemak tepu sebelum
ini dipercayai menjadi antara penyumbang kepada serangan sakit jantung.
Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh pakar kardiologi Hospital
Universiti Croydon di London, Britain, Dr. Aseem Malhotra hasil
kajiannya yang diterbitkan dalam British Medical Journal baru-baru ini.
Menurutnya, makanan tersebut sebenarnya tidaklah seburuk yang
disangka, malah ia dipercayai dapat membantu melindungi tubuh daripada
risiko penyakit kardiovaskular.
“Kajian kohort prospektif tidak menyokong hubungan pengambilan lemak
tepu dengan risiko penyakit kardiovaskular, malah menerusi kajian itu,
kita dapati lemak tersebut mampu melindungi jantung daripada penyakit
itu,” katanya.
Namun, tanggapan bahawa lemak tepu tidak baik untuk kesihatan jantung
membuatkan ramai orang menolak pengambilannya dalam diet masing-masing.
Salah anggap
Masyarakat lebih gemar mengambil produk rendah lemak kerana
beranggapan ia lebih baik untuk kesihatan selain dapat membantu mereka
menurunkan berat badan.
Mereka mungkin silap kerana kebanyakan produk rendah lemak di pasaran
sebenarnya mengandungi kandungan gula atau garam yang tinggi.
“Minggu lalu, saya menyaksikan seorang pesakit wanita dalam lingkungan umur 40-an mati akibat serangan sakit jantung.
“Enam bulan sebelum meninggal dunia, dia mengalami kenaikan berat
badan sehingga 20 kilogram (kg) dan pertambahan itu dipercayai selepas
dia mengambil minuman rendah lemak sebanyak lima kali sehari,” kata
Malhotra menerusi portal berita The Guardian.
Daripada pengiraan yang dibuat, Malhotra mendapati bahawa setiap 450
mililiter (ml) susu berperisa mengandungi kira-kira 15 sudu teh gula.
“Ini bermakna pesakit itu berkemungkinan telah mengambil 75 sudu teh gula setiap hari,” ujarnya.
Jelasnya, pengurangan kadar pengambilan gula dalam diet adalah lebih baik bagi mencegah penyakit berkaitan jantung.
Justeru, Malhotra mengesyorkan pesakit jantung agar mengamalkan
pengambilan lemak tepu daripada makanan belum proses seperti keju,
mentega, telur, yogurt dan daging.
“Produk tenusu misalnya kaya dengan vitamin A, D, kalsium dan fosforus yang diyakini dapat merendahkan tekanan darah.
“Makanan diproses seperti makanan segera didapati mengandungi
kandungan asid lemak trans tinggi yang berbahaya untuk kesihatan
jantung,” katanya.
Lemak trans
Sementara itu, menurut Ketua Pusat Jantung dan Paru-Paru Pusat
Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datuk Dr. Mohd.
Ramzisham Abdul Rahman, lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak
baik (LDL) dan menurunkan paras kolesterol baik (HDL).
Lemak ini kebiasaannya dijumpai dalam makanan segera seperti kentang
goreng, piza, patti burger, hotdog dan makanan diproses lain.
Katanya, di Malaysia, penyumbang kematian terbesar di
hospital-hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit jantung dengan
kemasukan kini melebihi 7,300 kes setahun.
“Lemak trans yang berlebihan akan terkumpul dikeliling jantung dan seterusnya mengganggu saluran darah.
“Pembuluh darah yang tersumbat akan menyukarkan oksigen sampai ke
jantung lalu mengakibatkan penyakit jantung koronari, darah tinggi dan
strok,” ujarnya