ROSNAH gelisah apabila mendapati kulit wajahnya kusam tidak berseri.
Seorang sahabat mencadangkan agar dia menggunakan sejenis krim pencerah.
Di peringkat awal kulitnya kelihatan cerah dan semakin cantik.
Namun setelah hampir enam minggu menggunakan krim itu wajahnya mula
kusam dan bertompok hitam. Hal itu menjadikan Rosnah semakin risau.
Tompokan hitam yang
pada asalnya sedikit menjadi ketara malahan semakin banyak pula.
Ternyata tompokan hitam menjadi kekal dan tidak berkurang walaupun dia
menukar jenis krim yang baru. Dengan perasaan cemas Rosnah bertemu saya
bagi mendapatkan bantuan.
Hasil pemeriksaan mendapati kulit Rosnah terbakar dan menjadi gelap.
Saya menjelaskan kepada beliau bahawa masalah itu dinamakan PIH (Post
inflammatory hyperpigmentation) . PIH merupakan masalah akibat
peningkatan aktiviti sel meanosit.
Tidak dapat dinafikan faktor Kecantikan kulit dan tubuh badan amat penting bagi wanita. Seseorang wanita yang memiliki kulit halus dan susuk tubuh menarik kelihatan yakin meningkatkan keterampilan sekali gus menjadikan seorang wanita tampak anggun dan berpersonaliti.
Kesan pigmentasi disebabkan pengumpulan melanin iaitu sejenis pigmen pada kulit. Ia juga boleh dirawat dengan laser
yang akan membuatkan melanin yang berkumpul berpecah menjadi partikel.
Pigmentasi bukan saja kerana usia tapi akibat kesan sampingan radang
pada kulit seperti bekas jerawat, kecederaan seperti luka atau terbakar,
pengunaan bahan kosmetik yang salah
dan sebagainya. Dalam kes di Rosnah kecederaan kulit disebabkan
pengunaan kosmetik. Oleh kerana kosmetik disapu seluruh wajah, maka
kesan terbakar yang dialami adalah pada keseluruhan muka. Bukan sahaja
wajahnya jadi gelap dan lebam tetapi tekstur kulit muka kasar dan
pori-pori juga luas.
Saya mencadangkan rawatan menggunakan laser dan Rosnah bersetuju. Rawatan
menggunakan laser mestilah dibuat antara enam sehingga sepuluh kali
untuk mendapat hasil yang memuaskan. Saya juga mencadangkan rawatan PRP (platlet rich plasma) . Uniknya rawatan ini kita menggunakan sel-sel dalam darah
pesakit sendiri. Darah diambil dan diproses bagi mendapatkan PRP.
Faktor hormon juga perlu dititikberatkan. Hormon adrenal sangat mustahak
bagi kecantikan kulit seseorang. Hormon adrenal dikeluarkan oleh
kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang
kita. Kelenjar adrenal adalah kelenjar kecil yang terdiri daripada dua
bahagian iaitu kortex dan medulla. Kedua-duanya menghasilkan hormon yang
berbeza. Kortisol iaitu hormon dari adrenal merupakan elemen penting
dalam kecantikan. Ia juga mustahak bagi pembentukan badan yang cantik
dan seimbang. Seseorang yang kurang hormon kortisol akan mempunyai
masalah jerawat, pigmentasi, resdung, gatal-gatal dan juga bintik-bintik
putih yang sukar dirawat meskipun dengan pelbagai kaedah.
Rawatan yang hanya memfokuskan kepada kulit sahaja tanpa mengambil kira hormon dalam tubuh
tidak mungkin memberikan hasil yang kekal pada jangkamasa panjang. Ini
kerana kelenjar hormon yang tidak dirawat akan menghasilkan hormon pada
tahap rendah menyebabkan masalah yang dihadapi berulang. Jadi demi
mendapatkan hasil yang terbaik kita perlu meningkatkan paras kortisol
juga.
Lelaki juga tidak dapat lari daripada melasma. Saya sering merawat
beberapa pesakit lelaki yang mempunyai masalah tersebut. Melasma lebih
aktif apabila seseorang berada di bawah pancaran matahari. Sel sel aktif
yang mengeluarkan pigmen hitam dinamakan melanocytes . Fungsi utamanya
mengeluarkan pigmen yang dinamakan melanin. Kehadiran melanin memberi
warna kulit selain bertindak sebagai penapis yang menghalang cahaya
terlalu kuat dan boleh merosakkan kulit daripada menembusi kulit. Oleh
itu bagi mereka yang mempunyai banyak melanin warna kulitnya akan
menjadi gelap apabila terdedah di pancaran matahari atau pergi ke tempat
beriklim panas. Apabila dia berhijrah ke tempat beriklim sejuk atau
menutupi kulitnya daripada matahari maka kulitnya kembali cerah. Dewasa
ini terdapat krim pelindung matahari dan pil bagi melindungi kulit
daripada matahari. Apabila kulit disapu pelindung matahari ia akan
menebat atau menghalang kemasukan cahaya yang mengaktifkan melanocytes.
Justeru itu bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti yang sering
terdedah kepada pancaran matahari, perkara ini tidak boleh di pandang
remeh. Pemakaian pelindung matahari haruslah diamalkan setiap masa.
Rawatan
yang sesuai bagi melasma adalah penggunaan krim mengandungi anti
melanin. Suntikan transeminik dan pil mengandungi transeminik turut juga
menghilangkan salur darah yang berada di bawah kulit. Apabila salur darah
itu mengecut maka sel-sel melasma akan turut mengecut. Lama kelamaan
melasma akan berkurangan. Penggunaan krim yang salah hanya menyebabkan
melasma semakin ketara kerana sesetengah krim akan merangsang salur
darah menjadi lebih aktif dan kulit menjadi lebih nipis. Tempoh rawatan
bagi melasma sangat lama dan ada kalanya memakan masa berbulan bagi
mendapat kesan yang baik. Setelah itu penggunaan krim anti melanocyte secara
berkala adalah sangat penting bagi mengekangnya. Boleh dikatakan
perjuangan menentang melasma sehingga ke satu peringkat seumur hidup
juga. Ia menuntut disiplin dan kesabaran yang sangat tinggi.
Melasma berbeza dengan pigmentasi epidermis yang mudah saja cara
rawatannya. Saya menggunakan laser jenis pixel bagi memulihkannya dan
mendapat hasil yang sangat menakjubkan. Pigmentasi pada epidermis adalah
disebabkan oleh pengumpulan melanin pada kulit kita. Laser bertindak
memecahkan melanin yang kemudian dibuang sebagai bahan buangan dan
dikeluarkan dari kulit kita. Justeru hasil yang baik dapat diperolehi
apabila kita merawat PIH dengan laser kerana sifat pigmen melanin yang
memecah dan boleh dikeluarkan dari kulit.
sumber : http://www.rawatan.org/masalah-pigmentasi/