Sunday, 9 March 2014

Makan sushi untuk panjang umur

IKAN salmon dan kod dalam hidangan sushi mengandungi kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi. - Gambar hiasan

SUSHI bukan sahaja dikatakan baik untuk kesihatan malah makanan Jepun itu dipercayai dapat membantu memanjangkan usia.

Para penyelidik dari Univerisiti Pittsburgh, AS percaya ini berlaku kerana rakyat Jepun mengambil lebih banyak ikan dalam diet harian mereka. Ketua saintis, Dr. Akira Sekikawa berkata, asid lemak omega-3 yang ditemui dalam ikan kod, tuna dan salmon membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan pembentukan lemak dalam saluran arteri.
Kajian tersebut dijalankan ke atas 300 lelaki di Jepun, serta Hawaii dan Philadelphia di AS selama lima tahun.

Kajian mendapati, responden lelaki Amerika terdedah kepada penyakit jantung tiga kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki Jepun. Bacaan tahap asid lemak omega-3 dalam darah responden lelaki Jepun pula adalah 100 peratus lebih tinggi berbanding lelaki Amerika.

"Ini kerana kebanyakan responden Jepun makan kira-kira 100 gram (g) ikan sehari termasuk sushi. Responden dari Amerika pula hanya mengambil 13g hidangan ikan sehari. "Perkara ini meningkatkan kecenderungan masyarakat Barat untuk menghidap penyakit kardiovaskular yang menjadi penyumbang tertinggi kematian di Amerika," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/