SUARA merupakan satu bentuk komunikasi yang amat penting bagi manusia
namun, nikmat ini kurang diberi perhatian melainkan setelah seseorang
kehilangannya. Hilang suara boleh disebabkan oleh faktor sementara seperti jangkitan
saluran pernafasan atas, bengkak peti suara akibat penggunaannya yang
keterlaluan mahupun radang saraf larinks.
Kebiasaannya hilang suara dalam kes-kes sebegini akan pulih
sepenuhnya dalam masa beberapa hari atau minggu tetapi kanser peti suara
boleh menjadi punca seseorang hilang suara untuk sementara atau
selama-lamanya. Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Universiti Sains Malaysia,
Dr. Irfan Mohamad, peti suara adalah bahagian terpenting yang mengatur
penghasilan bunyi atau suara.
“Kontribusi udara dari dalam paru-paru sewaktu menghembus nafas akan menggetarkan peti suara lalu menghasilkan bunyi. “Ia seterusnya akan melalui rongga mulut dan hidung yang dikenali
sebagai artikulator untuk memodulasi bunyi yang dihasilkan kepada bahasa
yang difahami.
“Struktur peti suara terletak pada organ salur pernafasan yang
dinamakan sebagai larinks. Larinks ialah bahagian tekak yang
menyambungkan rongga mulut dan orofarinks di bahagian atas dengan trakea
dan paru-paru di bahagian bawah,” ujarnya.
Terganggu
Tambahnya, larinks merupakan bahagian tersempit yang terdapat di
sepanjang saluran pernafasan manusia. Dalam keadaan normal, ia boleh
terbuka serta tertutup selain bergetar untuk mengawal udara yang keluar
masuk ke paru-paru serta menghasilkan suara.
“Dalam keadaan abnormal atau berpenyakit, suara mudah terganggu. “Sama seperti organ badan yang lain, kanser boleh terjadi pada struktur peti suara. “Kanser ialah suatu keadaan di mana sel-sel tumbuh tanpa kawalan dan
dalam struktur larinks, peti suara (glotis) ialah struktur yang paling
kerap menjadi kanser berbanding dengan struktur supraglotis (atas peti
suara) dan subglotis (bawah peti suara),” jelasnya sambil memberitahu,
jenis kanser yang paling kerap terjadi ialah karsinoma sel skuamus.
PETI suara merupakan bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara seseorang.
Beliau berkata, golongan lelaki lebih mudah mendapat penyakit ini disebabkan tabiat merokok yang tinggi berbanding wanita. “Karsinogen iaitu bahan dalam asap rokok menjadi penyebab utama
terjadinya kanser peti suara. Ini kerana asap rokok yang disedut akan
melalui struktur peti suara sebelum sampai ke dalam paru-paru.
“Dengan meningkatnya jumlah wanita yang merokok, peratusan kanser
peti suara yang dialami oleh golongan wanita juga dilihat makin
bertambah. “Selain itu, jangkitan saluran pernafasan oleh virus papiloma
manusia, tabiat meminum alkohol, dan radiasi lampau untuk penyakit
kanser lain turut menyumbang kepada risiko kanser peti suara ini,”
katanya.
Irfan menjelaskan, tanda awal bagi kanser peti suara ditunjukkan
melalui perubahan suara. Pada kebiasaannya pesakit akan mendapati suara
mereka menjadi serak yang tidak kembali ke nada asal selepas beberapa
minggu. Perubahan suara selepas jangkitan kuman saluran pernafasan atas
adalah perkara biasa namun jika ia tidak pulih selepas dua atau tiga
minggu, perhatian perlu diberikan. Ini kerana peti suara juga mengawal
gerakan udara keluar masuk ke dalam paru-paru.
“Kewujudan sebarang bentuk ketumbuhan akan menyempitkan peti suara manakala ruang udara keluar masuk semakin kecil. Malah, geseran permukaan peti suara yang mempunyai ketumbuhan akan mengakibatkan luka dan batuk berdarah.
Endoskopi
“Pesakit juga akan berasa sukar untuk menelan makanan,” jelasnya
sambil memberitahu, kanser tersebut boleh merebak ke kelenjar limfa di
leher yang menyebabkan struktur tersebut menjadi bengkak. Kanser peti suara juga boleh merebak ke organ lain seperti paru-paru
dan hati sekali gus menunjukkan kanser tersebut telah berada pada tahap
yang teruk.
“Dari segi rawatan, peti suara akan diperiksa menggunakan endoskopi
untuk melihat ke dalam larinks. Proses ini dikenali laringoskopi.
Keadaan sebenar dapat dilihat dan direkodkan apabila pesakit melalui
proses ini tetapi jika terdapat keraguan, sampel tisu diperlukan.
“Prosedur ini biasanya dilakukan dalam keadaan pesakit dibius. Selain
pemeriksaan larinks dan biopsi sampel tisu, bahagian leher dan kepala
serta bahagian badan yang lain turut diperiksa,” tambahnya.
Menurutnya, kanser peti suara dirawat dengan menggunakan kaedah
radioterapi sekiranya ia berada pada peringkat awal kerana larinks dan
peti suara masih dapat diselamatkan. Suara juga dapat dikekalkan selepas
menjalani sesi terapi.
“Bagi kanser tahap tinggi, pembedahan tidak dapat dielakkan dan peti
suara terpaksa dikeluarkan sama ada separuh atau semuanya bergantung
kepada sejauh mana kanser itu menyerang. “Jika ini berlaku, pesakit akan diberi pilihan untuk membantu mereka bercakap setelah peti suara dibuang,” ujarnya.
artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/