Monday, 9 June 2014

Azab Pedih Dijangkiti Herpes Zoster

Herpes Zoster (HZ) atau lebih dikenali sebagai kayap adalah sejenis penyakit disebabkan oleh pengaktifan semula virus Varicella Zoster (VZ) yang menyebabkan cacar air. Penyakit ruam melepuh yang biasanya diiringi derita kesakitan itu boleh menyerang sesiapa saja tidak mengira umur atau bangsa. Namun, kira-kira 95 peratus golongan dewasa yang berusia lebih 50 tahun memiliki risiko tinggi untuk menghidap kayap jika mereka pernah dijangkiti virus cacar air semasa muda.

Bagi kebanyakan pesakit, rasa sakit akibat ruam kayap semakin reda apabila ruam mula pulih tetapi bagi sesetengah pesakit pula, ia boleh menyebabkan kesakitan saraf jangka panjang. Begitupun, kesedaran mengenai penyakit kayap berkenaan masih rendah di negara ini. Pengarah Urusan MSD Malaysia Annie Chin berkata, menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC), seorang daripada setiap tiga orang akan menghidap kayap dalam tempoh hayatnya.

Ia disebabkan virus VZ kekal dalam sistem saraf bertahun-tahun lamanya sebelum tercetus semula sebagai kayap. “Berdasarkan kajian, kayap boleh muncul semula beberapa kali dalam tempoh hayat seseorang. “Ia menjejaskan kualiti kehidupan jutaan warga emas serta keluarga mereka, justeru, kami terpanggil untuk membantu rakyat negara ini dengan memberi lebih pemahaman menerusi kempen yang diadakan,” katanya ketika merasmikan kempen kesedaran mengenai kayap khusus untuk golongan warga emas bertajuk ‘Elakkan Penderitaan Yang Tak Tertanggung’ di ibu negara, baru-baru ini.

Kempen perdana itu turut mendapat sokongan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), Persatuan Dermatologi Malaysia, Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia (MASP) dan Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS). Menurut Pengerusi MSGM Profesor Philip Poi, masyarakat di negara ini masih kekurangan kesedaran dan pengetahuan mengenai risiko dan komplikasi kayap.

Ia menyebabkan ramai berpendapat mereka hanya boleh dijangkiti virus cacar air atau virus kayap ini sekali seumur hidup dan menjadi imun selepas terkena jangkitan. Tanggapan itu salah sama sekali kerana ia mungkin boleh berulang terutama selepas usia 50 tahun berikutan sistem imun badan yang lemah.“Sehingga kini penyakit ini masih belum ada penawar dan ia sukar diramalkan bila virus VZ akan kembali aktif dalam badan. Namun, salah satu cara untuk mengurangkan risiko adalah dengan mengambil vaksin,” katanya. Menurut Presiden MASP Dr Mary Cardosa, kayap boleh menyebabkan azab kesakitan pedih, menusuk dan seakan-akan renjatan pada badan.

Bagi hampir 50 peratus pesakit, ia boleh mengakibatkan komplikasi lain seperti Neuralgia Pasca Herpes (PHN) iaitu sakit urat saraf jangka panjang yang boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun lamanya. “PHN adalah penyakit kronik yang menyeksa penghidapnya. Ia terbukti apabila 42 peratus pesakit yang ditemui menggambarkan tahap kesakitan yang paling teruk akibat kayap sebagai ‘dahsyat’ atau ‘menyeksa’.

“Disebabkan rasa sakit yang berterusan, pesakit mungkin kurang melakukan kegiatan fizikal dan sosial selain turut mengalami tekanan emosi,” katanya. Bagi Presiden MHAS Dr Lim Poh Hin, pihaknya sentiasa menggalakkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti vaksin untuk keselesaan menikmati usia emas kelak. Hidup secara sihat adalah keutamaan semua terutama sebagai orang dewasa. “Mengambil vaksin satu langkah mudah tetapi penting dalam usaha membantu mencegah penyakit yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius dan bil perubatan tinggi.

“Saya melihat kempen ini sebagai penting kerana ia dapat membantu orang ramai memahami penyakit ini dengan sepenuhnya dan pada masa yang sama dapat menjauhkan beban psikologi serta kewangan yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya. Sementara itu, kempen yang bermula sejak April lalu itu menyediakan pelbagai aktiviti seperti ceramah kesihatan yang disampaikan oleh pakar perubatan tempatan, perkongsian pengalaman pesakit, pameran kecil, jelajah rak bergerak, pemeriksaan perubatan percuma dan kegiatan masyarakat.

Ia diadakan untuk memberi lebih pemahaman mengenai penyakit itu dan cara pencegahannya. Selain acara awam, MSD juga melancarkan kempen pengiklanan seluruh negara menerusi semua saluran media yang merangkumi iklan cetak, elektronik termasuk pengumuman melalui radio, media sosial dan pemasaran digital.Sukar ramal golongan paling berisiko. Fakta mengenai kayap. Tiada cara yang boleh digunakan untuk meramalkan bila virus VZ akan menjadi aktif semula dan menyebabkan kayap.

Malah, pengamal perubatan juga mengakui sukar untuk meramalkan golongan sebenar yang paling berisiko untuk menghidap penyakit berkenaan. Selain itu, bilangan warga emas di seluruh dunia juga dikatakan sudah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 50 tahun lalu. Bilangan warga emas yang semakin ramai juga secara tidak langsung akan meningkatkan bilangan kes kayap.

Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) Dr Najeeb Safdar berkata, orang ramai dinasihatkan mendapatkan nasihat perubatan segera sebaik saja mengalami simptom kayap seperti rasa gatal atau pedih di sesuatu kawasan badan. Kayap tidak sepatutnya dianggap sebagai ruam semata-mata atau penyakit kulit yang dihidapi orang tua. “Kayap perlu didiagnosis dalam tempoh 72 jam selepas dijangkiti barulah ubat antivirus boleh berkesan untuk mengurangkan rasa sakit dan menyingkatkan tempoh jangkitan,” katanya.

Simptom kayap

Tanda awal kayap lazimnya dirasai tetapi mungkin tidak dapat dilihat iaitu rasa gatal atau pedih. Beberapa hari kemudian, ruam lepuh berisi cecair akan muncul dan ruam ia boleh mengambil masa sehingga 30 hari untuk pulih sepenuhnya. Ruam itu biasanya diiringi rasa sakit yang ringan atau teruk dan selalunya berlaku pada sebelah badan atau muka saja.

Kesakitan akut adalah simptom yang paling lazim mengiringi kayap. Rasa sakit akibat kayap akut boleh menjadi serius, sama ada ringan atau teruk dan sesetengah pesakit melaporkannya sebagai suatu penyeksaan. Namun, ada pesakit yang mengalami simptom kayap memberitahu mereka mengalami kesakitan hampir setiap hari. Ia juga boleh menyebabkan kesakitan saraf jangka panjang, PHN. PHN adalah komplikasi kayap yang paling lazim berlaku dan didefinisikan sebagai rasa sakit yang berlarutan melebihi 90 hari selepas timbulnya ruam.

Komplikasi ini berpunca daripada kerosakan pada gentian saraf yang disebabkan oleh virus berkenaan. Kadar kejadian PHN boleh mencapai 50 peratus dalam kalangan pesakit yang melebihi usia 60 tahun. Bagaimanapun, kesakitan akibat PHN berbeza dan pernah digambarkan sebagai sakit apabila disentuh, pedih, berdenyut-denyut, menusuk, mencucuk atau secara tiba-tiba.

Warga emas biasanya mengalami kesakitan yang lebih teruk dan lama berbanding golongan muda. Bagi pesakit yang mengalami kesakitan saraf jangka panjang, sentuhan pada pakaian yang lembut atau bayu yang bertiup pada kulit juga boleh menyebabkan kesakitan. Ia digelar alodinia iaitu rasa sakit akibat rangsangan yang tidak menyakitkan.

Kesan negatif pada kualiti hidup.

Kayap dan PHN yang berkait dengannya boleh menjejaskan pesakit secara fizikal, psikologi dan sosial. Ia juga boleh mengganggu kegiatan seharian pesakit tanpa orang ramai sedari. Komplikasi lain yang dialami kebanyakan pesakit seperti parut, pneumonia, gangguan penglihatan, hilang pendengaran, jangkitan kulit dan lemah otot. Selain itu, deria penglihatan atau pendengaran pesakit juga boleh merosot atau hilang kerana sistem penglihatan dan pendengaran terjejas.

Dianggarkan antara 10 hingga 25 peratus pesakit kayap juga akan mengalami oftalmikus kayap (kayap mata) dan 50 hingga 72 peratus berisiko mengalami penyakit okular (mata) kronik yang berulang dan boleh menyebabkan buta.

Rawatan dan pencegahan: 

Umum mengetahui kayap tidak boleh disembuhkan kerana virus cacar air sudah berada di dalam sistem saraf badan. Namun dengan adanya teknologi perubatan moden, pemvaksinan kayap boleh mengurangkan risiko virus VZ menjadi aktif semula sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kayap. Untuk rawatan, peringkat awal kayap boleh dirawat dengan terapi antivirus yang akan memulihkan tanda atau simptom pada sebilangan besar pesakit jika diberikan pada peringkat permulaan.

Antivirus itu dipercayai dapat membantu mengurangkan tahap keterukan penyakit itu serta mengurangkan risiko berlakunya komplikasi.

sumber dari : http://www.rawatan.org/