Wednesday 3 September 2014

Batu buah pinggang Berkaitan Dengan Penyakit Kardiovaskuler

Telah lama diketahui bahawa batu buah pinggang meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik (chronic kidney disease) yang boleh berlanjutan sehingga menyebabkan kegagalan buah pinggang. Para penyelidik China baru-baru ini mendapati juga adanya hubungan antara batu buah pinggang dan penyakit kardiovaskular.
Yanqiong Liu dan rakan-rakannya di First Affiliated Hospital, Guangxi, China menganalisis sekumpulan data dari 50.000 pesakit batu buah pinggang dan 3.5 juta orang dari kumpulan kawalan. Mereka menyiasat apakah ada hubungan antara batu buah pinggang dan penyakit kardiovaskular. Dalam pengambilan kesimpulan, mereka mempertimbangkan faktor-faktor risiko lain untuk masalah jantung, seperti obesiti dan tekanan darah.
 
Hasilnya, pesakit batu buah pinggang mempunyai risiko 19 peratus lebih tinggi untuk penyakit jantung koronari berbanding orang yang sihat. Mereka juga mempunyai kenaikan risiko stroke hingga 40 peratus. Hal yang mengejutkan para penyelidik adalah fakta bahawa risiko serangan jantung meningkat pada pesakit batu buah pinggang wanita, tetapi tidak pada pesakit laki-laki. Mengapa begitu, para saintis belum mengetahui.

Kajian lanjutan

Kajian lebih lanjut diperlukan untuk menjelaskan betul-tidaknya hubungan risiko dengan jenis kelamin. Perbezaan hormon antara perempuan dan laki-laki mungkin menjelaskan perbezaan dalam hubungan tersebut. Apakah batu buah pinggang benar-benar menjejaskan jantung atau hanya mempunyai sebab-sebab yang sama dengan penyakit jantung juga masih belum jelas. Kajian sebelum ini mendapati bahawa faktor yang meningkatkan risiko penyakit jantung iaitu obesiti dan lemak di lingkar perut atau pinggang juga meningkatkan risiko pembentukan batu buah pinggang.

Penyebab batu buah pinggang

Bahan-bahan sisa hasil metabolisme tubuh seperti kalsium, oksalat, cystine, fosfat dan xanthine biasanya dibuang dari tubuh melalui air kencing. Jika pembuangan sisa dari tubuh terganggu-misalnya kerana kurang minum sehingga tidak cukup cecair untuk menyingkirkan mereka- bahan-bahan buangan itu mengendap dan mengeras di buah pinggang sehingga menjadi batu buah pinggang . Batu yang terperangkap di buah pinggang atau bergerak melalui saluran kencing ke ureter boleh menyebabkan rasa sakit yang luar biasa atau kejang yang disertai mual dan muntah. Keadaan tersebut dinamakan sebagai kolik buah pinggang.
----
Sumber: Liu, Yanqiong et al .: Kidney Stones and Cardiovascular Risk: A Meta-analysis of Cohort Studies, American Journal of Kidney Diseases, Jilid 64, Issue 3, 402- 410, September 2014.

Ditulis oleh dr Salma