Masalah buasir pada
golongan dewasa adalah perkara biasa, namun tidak ramai yang sanggup
bercerita mengenai masalah pembuangan air besar dialami disebabkan ia
berkaitan dengan bahagian sulit.
Bagaimanapun,
apabila ada antara rakan yang sudah menjalankan rawatan ataupun
pembedahan untuk menanganinya barulah ada yang berani membuka mulut dan
mengakui mereka juga turut mengalaminya.
Masalah ini sudah berlaku sejak dulu lagi, tetapi kini ia makin kerap diperkatakan disebabkan perubahan gaya hidup.
Menurut Perunding
Pakar Bedah Laparoskopik dan Kolorektum, Pusat Perubatan Prince Court
(PCMC), Datuk Dr Yunus Gul Alif Gul, masalah buasir yang berlaku di
peringkat awal tidak menyebabkan rasa sakit.
Namun, lebihan buasir yang terkeluar dari dubur akan dapat dirasai ketika individu berkenaan membersihkan dubur.
“Biasanya individu
yang ada masalah buasir akan mengalami gejala pendarahan, tetapi ada
juga yang tidak berhadapan dengan sebarang masalah.
“Sekiranya
pendarahan dialami berlarutan, dapatkan rawatan awal bagi mengesan
masalah sebenar untuk mengelakkan mudarat pada kemudian hari nanti,”
katanya.
Apa itu buasir?
Buasir atau
hemoroid adalah pembengkakan pada salur darah vena yang terletak di
bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia
mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa
sakit, perit, gatal dan berdarah.
Buasir terjadi
disebabkan tekanan dalam darah di bahagian rektum terlalu tinggi,
menyebabkan dinding vena meregang atau ‘memberi’ dan membonjol.
Kadangkala ia boleh pecah, terutamanya ketika meneran apabila membuang
air besar.
Kewujudan tisu
buasir adalah satu komponen normal dalam anatomi badan manusia. Ia
bertindak sebagai ‘kusyen’ yang kaya dengan saluran darah di dubur dan
menjadi ‘pelapik termampat’ untuk membenarkan dubur tertutup dengan
ketat.
Dr Yunus berkata,
apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang keras
di dalam kolon dengan kuat ketika membuang air besar, struktur terbabit
akan membengkak.
Kemudian, ia
menjadi kurang memberi dan akhirnya terjulur keluar daripada dubur
bersama darah yang berwarna merah cerah yang menitis, tersembur atau
meninggalkan kesan apabila dikesat dengan tisu tandas.
Walaupun pendarahan
dan sembelit dilihat sebagai gejala utama buasir, namun pendarahan yang
berlaku daripada dubur tidak semestinya disebabkan buasir, tetapi boleh
menjadi petunjuk kepada penyakit lain yang lebih serius seperti kanser
kolorektal.
“Penting bagi
individu berkenaan menjalani pemeriksaan di peringkat awal bagi
mengesahkan penyakit dialami dan menjalani rawatan sewajarnya.
“Tetapi biasanya
pesakit lambat mendapatkan rawatan dan hanya datang berjumpa doktor
selepas masalah mereka menjadi teruk,” katanya.
Menurutnya, antara penyebab lazim buasir ialah tidak cukup minum air dan pengambilan makanan yang kurang serat.
Selain itu, terlalu
kerap mengangkat barangan berat juga menyebabkan individu berkenaan
berisiko tinggi untuk mengalami buasir kerana tekanan dialami di
bahagian dubur apabila melakukannya amat tinggi.
“Amalan duduk
terlalu lama ketika membuang air besar juga tidak digalakkan dan
kebiasaannya individu berkenaan berkemungkinan mengalami masalah buasir
tahap tiga atau empat untuk jangka masa lama tanpa sebarang rawatan
khusus.
“Jangan tahan atau
bertangguh-tangguh untuk buang air besar. Apabila ‘keinginan’ itu
datang, segeralah menyahut ‘panggilan’ itu,” katanya.
Ada empat peringkat buasir yang perlu diberi perhatian:
Peringkat pertama membabitkan buasir yang mengalami pendarahan, tetapi ia tidak menonjol keluar.
Peringkat kedua berlaku apabila buasir menonjol keluar ketika buang air besar, tetapi masuk kembali dengan sendirinya.
Peringkat ketiga
buasir keluar ketika atau selepas buang air besar dan hanya hilang
(masuk kembali) apabila ditekan atau ditolak dari luar.
Peringkat keempat
(kronik) apabila buasir sentiasa berada di luar hingga menyebabkan
ketidakselesaan untuk melakukan aktiviti harian.
“Untuk peringkat
paling kronik mungkin pembedahan adalah pilihan terbaik, tetapi kini ada
banyak cara boleh dilakukan untuk mengurangkan kesakitan ketika
‘menghilangkan’ buasir serta mempercepatkan penyembuhan.
“Buasir mengambil masa yang lama untuk berkembang namun, gejalanya berbeza bergantung kepada peringkat ia berlaku,” katanya.
Punca
- Sembelit dan meneran berlebihan ketika buang air.
- Pekerjaan yang membabitkan keadaan duduk atau berdiri dalam masa yang lama.
- Obesiti, kehamilan dan proses melahirkan anak.
- Masalah ini juga berlaku disebabkan faktor gaya hidup atau tabiat pemakanan yang meningkatkan kecenderungan untuk mendapat buasir.
-
Namun, ia boleh
dicegah dan gejalanya dapat dikawal jika diurus pada peringkat awal.
Walaupun sudah mendapat rawatan, individu berkenaan perlu mengubah gaya
hidup untuk mengelakkan masalah berulang.
Rawatan
Antara proses rawatan yang boleh dilakukan ialah:
Untuk peringkat awal pemberian ubat melembutkan najis menjadi pilihan.
Lingkaran getah
(rubber band ligation) bagi peringkat ketiga dan keempat - Bagi buasir
yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, rawatan
standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber
band ligation).
Satu atau dua
lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat
peredaran darah ke buasir berkenaan. Ikatan lingkaran getah ini hanya
digunakan untuk buasir dalaman saja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat
bius dan tidak menimbulkan kesakitan.
Ligasi Arteri
Hemoroid (Haemorrhoidal Artery Ligation) - Kaedah ini menggunakan alat
yang dikenali sebagai ultrabunyi Doppler bagi mengikat atau jahit
saluran darah untuk mengurangkan tekanan pada bahagian berkenaan. Alat
ini akan dimasukkan ke dalam dubur dan prosesnya membabitkan bahagian
dalam anus yang kurang sensitif.
Menggunakan laser -
Jarum laser akan dimasukkan dalam buasir yang terkeluar dan proses ini
menyebabkannya mengecut. Buasir mengambil masa dua hingga empat minggu
untuk kecut sepenuhnya.
Panduan mengelak buasir.
- Minum air sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari.
- Kurangkan pengambilan daging merah kerana boleh menyebabkan sembelit.
- Makan makanan seimbang dengan mengambil makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Kurangkan menikmati makanan segera. Jika makan di luar rumah pilih makanan yang mengandungi serat tinggi dan segar.
- Elakkan memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan pada proses pembuangan air seperti makanan pedas atau berempah.
- Apabila terdapat gejala tertentu seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur segeralah berjumpa doktor dan jangan tunggu hingga ia melarat.