Apabila menyebut
penyakit tiroid, kita tentu akan terbayangkan bahagian leher yang
membengkak dengan tubuh yang kurus dan mata terjojol seperti mata ikan.
Pakar Runding
Pembedahan Am Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Nanda Kumar
Rajendram berkata, mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan
tiroid biasanya cepat marah, panas baran dan tidak fokus.
"Kelenjar tiroid
secara anatominya terbahagi kepada dua seakan-akan rama-rama dan
terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama
badan," katanya.
Menurut Dr. Nanda, kelenjar tiroid mengeluarkan dua jenis hormon iaitu tiroksin atau T4 dan triiodotiroksin atau T3.
MengawalKedua-dua hormon berkenaan mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisma.
"Apabila hormon
berkenaan meningkat, metabolisma badan juga meningkat dan begitulah
sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.
"Metabolisma yang
tinggi menyebabkan pesakit berasa panas, cepat marah dan kurang fokus
manakala jika metabolisma rendah, pesakit kurang bermaya sehingga berat
badan meningkat," katanya.
Justeru kelenjar tiroid dengan hormon T3 dan T4 membantu fungsi badan pada kadar yang selamat dan berkesan.
Dr. Nanda berkata, kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.
Apabila hormon
tiroid terlalu banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya
hormonnya sedikit, pesakit menghidapi hipotiroidisma.
Menurut Dr. Nanda,
penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian badan dan
ketidakseimbangannya membahayakan kesihatan.
"Sebenarnya penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
"Penyakit ini juga
boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini
bagaimanapun selamat serta mudah," katanya.
Menurut Dr. Nanda,
terdapat ujian, pemeriksaan dan rungutan pesakit atau orang sekeliling
yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid.
"Selain itu pesakit
juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada
perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.
"Leher perlu
diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan
menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga
pergerakannya dengan menelan," katanya.
DiperiksaKulit dan
mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh
diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.
Penyakit
hipotiroidisma berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara
optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.
Selain itu, ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.
Biasanya, jelas Dr. Nanda, penyakit hipotiroidisma disebabkan oleh radangan pada kelenjar tiroid, dipanggil tiroiditis.
Penyakit berkenaan
juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun
merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap
kelenjar tiroid.
Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.
Akhirnya, kelenjar
tiroid membesar dan dipanggil sebagai benguk. Lama-kelamaan, kelenjar
tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
"Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma.
"Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin pesakit mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan," katanya.
sumber dipetik dari:-http://infokesihatan4u.blogspot.com/2014/01/tiroid-jadi-masalah.html