PENYAKIT tidak
berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) seperti penyakit
jantung, diabetes, kanser dan paru-paru kronik adalah pembunuh utama
penduduk dunia.
Mengikut kajian
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global, seramai 17 juta
orang mati akibat penyakit kardiovaskular pada 2005, 7.4 juta lagi mati
akibat kanser pada 2004, 220 juta penduduk lagi menghidap diabetes pada
2005, manakala 1.1 juta meninggal dunia akibat penyakit sama.
Setiap tahun, kira-kira empat juta orang di seluruh dunia mati akibat penyakit paru-paru.
Malaysia tidak
terkecuali. Malah, kajian mendapati penyakit jantung dan strok
mencatatkan jumlah tertinggi kadar kematian di hospital kerajaan dan ia
juga adalah punca utama kematian pramatang (di bawah 60 tahun) di
Malaysia.
Tahun lalu saja, jumlah kematian akibat NCD di hospital kerajaan di seluruh negara mencecah 47,266 orang.
Negara turut berada di kedudukan ke enam di Asia Tenggara dengan kadar obesiti dewasa yang tertinggi.
Menyedari
pentingnya kawalan dan pencegahan bagi NCD, Kementerian Kesihatan
mengambil langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan menerusi Pelan
Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD (National Strategic Plan for NCD
atau NSP-NCD).
NSP-NCD
mengguna pakai tujuh strategi utama, iaitu pencegahan dan promosi
kesihatan, rawatan klinikal, memperkasakan pesakit, bertindak bersama
badan bukan kerajaan, badan profesional dan lain-lain pihak yang
berkaitan, pemantauan, penyelidikan dan survelan, bina insan dan
intervensi polisi dan peraturan-peraturan.
Antara
rancangan yang sudah dan bakal dilaksanakan (bagi intervensi polisi dan
peraturan-peraturan) termasuklah mengukuhkan polisi aktiviti fizikal dan
pemakanan dalam perancangan pembangunan di semua agensi dan
kementerian, meneruskan pengawalan serta pengurangan kandungan garam dan
gula dalam makanan yang diproses dan minuman berbungkus.
Selain itu,
kemudahan awam turut dipertingkatkan bagi mempromosi lebih banyak
aktiviti senaman dan fizikal dalam persekitaran selamat misalnya di
taman awam, kompleks sukan awam, laluan basikal, joging dan gimnasium
awam.
Meningkatkan
liputan sistem pengangkutan awam yang efisien di seluruh negara bagi
menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan itu dengan lebih meluas
dan merangsang lebih banyak aktiviti fizikal, selain menambah lebih
banyak kemudahan pengesanan kesihatan. Cadangan wajibkan saringan
kesihatan kepada semua pekerja 40 tahun dan ke atas.
Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tahun ini saja,
kementerian sudah melaksanakan 55 projek pencegahan NCD iaitu 35 projek
di dalam komuniti, 11 di sekolah dan sembilan di tempat kerja seluruh
negara.
Selain itu,
klinik 1Malaysia turut disediakan di beberapa kawasan bandar (urban)
yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seluruh negara. kini
dianggarkan 75 peratus penduduk Malaysia tinggal dalam dalam lingkungan
lima kilometer radius dari fasiliti kesihatan KKM. Di kawasan luar
bandar (rural), kementerian telah menyediakan klinik bergerak,
termasuklah inisiatif terbaru Klinik Bergerak 1Malaysia, dan juga
perkhidmatan flying doctor.
“Pencegahan NCD
memerlukan pembabitan semua pihak. Amalan gaya hidup sihat adalah
antara kunci utama bagi pencegahan penyakit NCD.
“Mengikut
kajian lebih 80 peratus daripada penyakit jantung, strok, diabetes Jenis
2 dan lebih sepertiga kanser boleh dicegah menerusi amalan gaya hidup
sihat dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam amalan berisiko
seperti merokok, pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup yang sedentari
(atau tidak aktif) dan pengambilan alkohol,” katanya pada sidang akhbar
di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Liow berkata tanpa gaya hidup sihat, rakyat negara kini lebih terdedah kepada penyakit NCD.
Malah, katanya,
di Malaysia, jumlah perokok yang berusia 18 tahun ke atas adalah
seramai 2.8 juta orang atau 21.5 peratus pada 2006, kurang aktiviti
fizikal seramai 5.5 juta rakyat Malaysia atau 43.7 peratus, berlebihan
berat badan sebanyak 29.1 peratus, manakala obesiti sebanyak 14
peratus.
Kajian juga
mendapati wanita mempunyai kadar berlebihan berat badan sebanyak 17.4
peratus berbanding lelaki hanya 10 peratus, manakala golongan suri rumah
mempunyai kadar obesiti tertinggi iaitu 20.3 peratus. Kaum India dan
Melayu pula mencatatkan kadar obesiti lebih tinggi daripada bangsa
lain.
Penyakit NCD
boleh menyebabkan krisis keluarga dan kewangan, kekurangan kualiti
kehidupan, kerugian dalam produktiviti dan meningkatkan bebanan negara.
sumber dipetik dari:-http://infokesihatan4u.blogspot.com/