Memang diakui
berpantang itu susah dan hanya orang yang benar-benar teguh semangat
mampu melakukannya, apatah lagi untuk jangka masa panjang.
Ini sebabnya
pakar perubatan menyarankan kita ‘jaga makan’ dengan mengamalkan
pemakanan secara bersederhana, melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan
serta minum banyak air kosong.
Nasihat dan
panduan ini juga diberi kepada pesakit gout bagi mengelak serangan
berulang. Ini kerana pemakanan mengandungi banyak sumber tumbuh-tumbuhan
dapat membantu mengurangkan penghasilan asid urik dalam badan dan
secara tidak langsung mengurangkan kekerapan mendapat serangan gout.
Gout disebabkan
pengumpulan asid urik dalam darah; yang terhasil daripada proses
pemecahan makanan. Buah pinggang akan menapis darah dan menyingkirkan
asid urik melalui air kencing.
Bagaimanapun
bagi pesakit gout, asid urik tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan
lama kelamaan paras asid urik dalam darah akan meningkat. Asid urik ini
kemudian akan mendap di sendi, terutama pada sendi besar. Biasanya
mendapan berlaku pada sendi ibu jari tetapi ia juga boleh berkumpul di
sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan,
siku dan jari.
Asid urik boleh
menyebabkan keradangan pada sendi dan ketika inilah serangan gout
berlaku. Pesakit akan berasa sakit sehingga tidak boleh menggerakkan
sendi terbabit. Malah ada pesakit terpaksa mengambil cuti sakit setiap
kali mengalami serangan gout.
Gout adalah
satu daripada penyakit sendi dan serangan pertama biasanya berlaku dalam
lingkungan umur 40 hingga 50 tahun. Bagaimanapun, gout boleh menyerang
semua peringkat umur, termasuk remaja.
Gout juga boleh
disebabkan oleh gemuk, tekanan, kerosakan buah pinggang, penghasilan
terlalu banyak asid urik, terlalu sedikit penyingkiran asid urik, kesan
sampingan ubat diuretik dan akibat penyakit lain seperti tekan darah
tinggi serta kebuluran.
Serangan
berlaku secara mengejut dan cepat, tidak seperti artritis lain yang
menyerang perlahan-lahan. Sendi terbabit terasa sangat sakit sehingga
jika ditindih dengan kain nipis pun dirasa boleh menambah kesakitan.
Serangan gout
berlaku pada satu sendi dan tanpa rawatan, setiap serangan boleh
berlanjutan antara satu hingga dua minggu. Manakala serangan kedua
biasanya mengambil masa lama (bulan atau tahun) untuk berlaku dan
serangan ini boleh berulang dari semasa ke semasa pada sendi sama.
Dianggarkan 60
peratus pesakit mengalami serangan kedua dalam masa setahun dan 78
peratus mendapat serangan kedua dalam masa dua tahun. Hanya tujuh
peratus pesakit tidak mengalami serangan berulang dalam tempoh 10 tahun.
Serangan gout
boleh dicetuskan oleh beberapa faktor seperti pengambilan minuman
beralkohol berlebihan, terlalu banyak makan terutama makanan yang kaya
purin, kecederaan kecil pada sendi, tidak cukup minum air, badan
mengalami kekurangan air disebabkan pengambilan sesetengah jenis ubat
dan mengamalkan diet melampau.
Jika tidak
diberi rawatan, serangan boleh berlaku dengan lebih kerap, lama dan
mungkin membabitkan sendi lain. Satu perkara penting yang perlu
diketahui ialah, serangan gout yang terlalu kerap boleh merosakkan sendi
dan kerosakan ini adalah kekal, tidak boleh dipulihkan dan akan
menyebabkan pesakit menjadi cacat.
Untuk mengelak
kesakitan dan kecacatan inilah, selain pengambilan ubat, pesakit gout
diingatkan berulang kali untuk minum banyak air sekurang-kurangnya dua
hingga tiga liter air masak sehari.
Apabila
mendengar saranan ini, ramai pesakit gout, terutama yang sudah berumur,
berasa kurang senang kerana ia akan membuatkan mereka kerap buang air
kecil dan perkara ini dianggap sangat menyusahkan.
Sebenarnya ini
antara kaedah kawalan dan pengurusan penyakit gout. Apabila pesakit
minum banyak, air kencing akan menjadi cair dan setiap kali mereka
berulang ke tandas, sebahagian daripada asid urik dikeluarkan daripada
badan.
Antara langkah lain yang perlu dilakukan pesakit ialah:
Kawal makan
dengan mengehadkan pengambilan protein daripada sumber haiwan —
sesetengah pesakit beranggapan tidak mengapa makan ikut selera kerana
ubat gout yang ada sekarang berkesan dan boleh menghilangkan kesakitan
akibat keradangan dalam masa beberapa jam. Betul, tetapi kawalan
penyakit gout lebih berkesan dengan menjaga pemakanan.
Ini bukan
bermakna pesakit perlu berpantang, tetapi mengurangkan pengambilan jenis
makanan yang kaya purin kerana ia boleh meningkatkan paras asid urik
seperti organ dalaman (otak, hati, buah pinggang, limpa, jantung),
daging angsa, ikan bilis, sardin, ikan kembung dan makanan laut
bercengkerang.
Kajian
menunjukkan diet bebas purin hanya dapat mengurangkan 15 hingga 20
peratus paras asid urik. Jadi anda masih boleh makan makanan kegemaran,
tetapi pada kuantiti kecil.
Sebaliknya
gantikan dengan sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan seperti kacang
dan kekacang. Ia juga dapat membantu pesakit mengurangkan pengambilan
lemak yang boleh mengakibatkan pertambahan berat badan. Lemak tepu juga
dikenal pasti antara penyumbang tidak langsung kepada masalah gout.
Kawal berat
badan. Kegemukan boleh menjejaskan keupayaan badan untuk menyingkirkan
asid urik. Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, mulakan
bersenam dan kawal pengambilan makanan supaya berat badan dapat
dikurangkan secara perlahan-lahan. Diet keterlaluan dan mendadak boleh
menyebabkan serangan gout.
Jika anda minum
minuman beralkohol, hadkan kepada segelas wain atau satu tin bir saja
sehari. Alkohol boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah dan
meninggikan risiko mendapat keradangan (serangan gout). Jika anda
mengalami serangan, jangan minum minuman beralkohol.
Minum banyak
air iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari. Tidak mengapa jika anda
terpaksa berulang ke tandas banyak kali kerana ia petanda baik. Semakin
kerap anda ke tandas, semakin banyak asid urik dibuang.
Pilih produk
tenusu rendah lemak atau bebas lemak. Ada kajian menunjukkan pengambilan
produk tenusu rendah lemak dapat membantu mengurangkan risiko gout.
Ambil
karbohidrat kompleks — sasarkan untuk makan lebih banyak bijirin, sayur
dan buah. Kurangkan makanan mengandungi karbohidrat yang diproses
seperti roti putih dan kek.
Hadkan
pengambilan gula — terlalu banyak gula akan membuatkan kita kurang makan
buah, sayur dan bijirin. Makanan yang banyak gula juga banyak kalori
yang akan membuatkan anda lebih senang mengalami pertambahan berat
badan.