1. Apa itu Penyakit Chikungunya?
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk.
Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada
tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan
akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia
endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India,
Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.
Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.
2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?
Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.
3. Adakah ia berjangkit?
Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes
albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes
juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.
4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?
Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau di antara 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara 3 hingga 7 hari.
5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?
- Demam panas mengejut
- Sakit teruk pada sendi
- Ruam pada badan
- Sakit kepala
Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.
6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?
Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan
pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala
yang berpanjangan.
Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.
7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?
Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada
rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala
klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.
Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.
Tiada vaksin bagi penyakit ini.
8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?
Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang
ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau
hospital terdekat.
9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya
- Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
- Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
- Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.
10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?
Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.
11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara
Sila rujuk kenyataan akhbar.
12. Tindakan Kementerian Kesihatan
Langkah – langkah kawalan yang telah diambil:
- Pengesanan kes secara aktif
- Melakukan kajian Aedes
- Semburan kabus dan ULV
- Aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat
- Aktiviti promosi kesihatan
Kejadian penyakit ini adalah terkawal dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Bilik Gerakan
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E10, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
No. Tel. : 03-8881 0600 / 03-8881 0700
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E10, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
No. Tel. : 03-8881 0600 / 03-8881 0700
sumber dipetik dari:- http://www.mahsuri.com.my/blog/berita/bahayanya-penyakit-chikungunya