Friday, 21 March 2014

Kunyit mempunyai banyak manfaat untuk kecantikan

Kunyit sememangnya sudah sinonim dengan anda semua kerana penggunaan kunyit dalam masakan pasti akan menambahkan seri dan rasa yang enak untuk beberapa jenis lauk.

Namun apa yang ramai tidak ketahui adalah kunyit juga mempunyai kelebihan lain selain untuk masakan. Ini kerana kunyit juga mempunyai manfaat untuk kecantikan.

Menurut laporan yang dipetik dari sebuah majalah gaya hidup, kajian telah membuktikan kunyit mempunyai pelbagai khasiat perubatan. Kandungan antiseptik yang terdapat pada kunyit mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka kecil, kecederaan dan melecet.

Disebabkan kesannya yang menakjubkan pada kulit, pakar kecantikan dari seluruh dunia kini mula menyedari dan menggunakannya ke dalam produk kecantikan masing-masing.

Jadi, tidak hairanlah jika kita dapat lihat krim-krim pengecut jerawat berasaskan kunyit. Secara tradisionalnya, memang ramai dah gunakan kaedah menumbuk kunyit untuk 'ditepekkan' ke muka bagi mengecutkan jerawat.

Malah bukan itu sahaja, kunyit juga dipercayai ada khasiat berguna dalam membantu rawatan penyakit seperti kanser dan Alzheimer.

Bagi masyarakat India pula, kunyit mempunyai kebaikan untuk kulit dan ia adalah sumber vitamin C dan magnesium yang baik, kandungan serat yang tinggi, vitamin B6, zat besi, potasium dan mangan serta kandungan sodium yang sangat rendah.

Untuk mencuba rawatan kunyit ini tidaklah susah atau perlu mengeluarkan modal yang besar kerana ia boleh dilakukan dengan mudah dan murah.

Gunakan serbuk kunyit dan campurkan sedikit air atau jus limau nipis, kemudian sapukan pada wajah bagi membantu kulit lebih berseri, selain mengurangkan masalah tompokan pigmen dan seterusnya meratakan warna kulit.

Jus kunyit juga boleh dibuat dengan hanya mengisarkan kunyit hidup dengan air masak, tapis dan hidangkan dengan sedikit asam keping dan gula melaka. Jika diamalkan, ia dikatakan mampu memperbaiki sistem dalaman tubuh badan.

Anda juga boleh mencuba skrub kunyit dengan mencampurkannya bersama tepung dan air. Ia dikatakan dapat membuang sel kulit mati dan membuatkan kulit menjadi mulus dan sekata warnanya.

Diharap dengan beberapa panduan ini dapat diamalkan oleh anda. Selamat mencuba!