Wednesday, 2 April 2014

Pakai kanta lekap hiasan boleh jadi buta

Pemeriksaan mata adalah penting sebelum seseorang mengambil keputusan untuk memakai kanta lekap. Ramai dikalangan kita sering mengambil mudah pemakaian kanta lekap sehingga meningkatkan risiko mereka untuk mendapat penyakit mata yang kronik akibat jangkitan kuman dan akhirnya menyebabkan mereka menjadi buta. Kanta lekap adalah alternatif kepada pemakaian kaca mata bagi mereka yang inginkan kebebasan dari terikat dengan kaca mata. Namun begitu tahap kesihatan individu perlu di nilai agar tidak menjadi bebanan kepada di kemudian hari.

Kanta lekap tidak harus dipakai individu yang menghidap masalah mata seperti konjunktivitis kronik, blefaritis, jangkitan kuman dan mata kering, selain pesakit diabetes, HIV positif dan penyakit berjangkit lain di samping individu yang mempunyai tahap kebersihan diri yang rendah. Pemakaian kanta lekap dikalangan golongan ini akan mengakibatkan mereka mudah mendapat jangkitan kuman.

Kanta lekap tidak salah untuk digunakan bagi tujuan kecantikan,namun ianya perlulah dipakai setelah kita pastikan kesihatan dan kebersihan diri pada tahap terbaik. Majlis Optik Malaysia berkata, sekiranya individu itu tidak mematuhi aturan pemakaian kanta lekap maka ada kemungkinan besar mereka akan terdedah kepada komplikasi berbahaya. Komplikasi paling berbahaya adalah terjadinya jangkitan kuman pada bahagian kornea mata yang disebut ulser kornea dan boleh mengakibatkankan buta. Pengguna kanta lekap harus mengambil tindakan cepat dengan menghentikan penggunaannya jika mata menjadi merah, berasa sakit serta penglihatan menjadi kabur dan perlu berjumpa doktor mata kerana rawatan segera diperlukan bagi mencegah buta.

Kesimpulannya pemakaian kanta lekap perlulah disertakan dengan tahap pengetahuan berkenaan kebersihan dan kesihatan yang baik. Tiada guna seseorang individu itu kelihatan cantik tetapi akhirnya mengakibatkan mereka menderita sepanjang hayat. Besar tanggungjawab penjual kanta lekap untuk menerangkan kepada pesakit mengenai risiko pemakaian kanta lekap.

Source: http://ms.shvoong.com/medicine-and-health/