Cara terbaik untuk memastikan keperluan makanan ahli 
          keluarga dipenuhi adalah dengan mengambil pelbagai jenis makanan dan 
          mengamalkan prinsip-prinsip pemakanan sihat iaitu :
              
                
- Makan pelbagai jenis makanan
 
                  Mengambil pelbagai jenis makanan dapat memastikan tubuh badan 
                  mendapat semua khasiat makanan yang diperlukan. Gunakan 
                  Piramid Makanan sebagai panduan untuk memilih makanan 
                  sekeluarga.  
 
 | 
              
 
              
                
- Makan bijirin dan kekacang secukupnya
 
                  Bijirin merupakan sumber tenaga yang utama. Bijirin juga kaya 
                  dengan serat terutamanya bijirin atau hasil bijirin mil penuh. 
                  Contoh bijirin dan hasil bijirin adalah nasi, roti, mi dan 
                  mihun. 
                   
                  Kekacang merupakan sumber serat yang baik. Ianya juga kaya 
                  dengan protin dan mempunyai kandungan lemak yang rendah. 
                  Contoh kekacang adalah kacang soya, kacang pis dan kacang 
                  dhal.  
 
 | 
              
                
- Makan lebih buah-buahan dan 
                  sayur-sayuran
 
                  Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi lemak 
                  yang rendah dan membekalkan pelbagai jenis zat seperti vitamin 
                  A, vitamin C, asid folik, zat besi dan kalsium yang kesemuanya 
                  penting untuk kesihatan. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga 
                  kaya dengan serat. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan 
                  serat adalah penting untuk melawaskan pembuangan najis dan 
                  dapat membantu mencegah penyakit sembelit yang kronik, buasir 
                  dan penyakit usus (diverticular diseases). Serat juga dapat 
                  membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan 
                  beberapa jenis kanser.  
 
 | 
              
                
- Imbangkan pengambilan makanan dengan 
                  aktiviti fizikal
 
                  Aktiviti fizikal dapat membantu badan anda membakar kalori 
                  yang berlebihan daripada makanan. Ianya dapat membantu 
                  mengawal berat badan. Jika berat badan berlebihan, kurangkan 
                  pengambilan makanan dan tingkatkan aktiviti fizikal. 
                   
 
 | 
              
                
- Pilih makanan yang rendah lemak dan 
                  kolesterol
 
                  Lemak adalah sumber tenaga yang baik dan diperlukan untuk 
                  membantu menyerap vitamin-vitamin larut lemak, iaitu vitamin 
                  A, D, E dan K. Ia juga melazatkan makanan dan dapat 
                  memperbaiki tekstur makanan. Lemak yang berlebihan daripada 
                  makanan akan disimpan di dalam badan sebagai lemak badan. 
                  Kehadiran lemak badan ini akan menyebabkan berat badan anda 
                  bertambah. Lemak yang berlebihan meningkatkan risiko penyakit 
                  jantung koronari, strok, obesiti dan masalah-masalah kesihatan 
                  yang lain.  
 
 | 
              
                
- Kurangkan pengambilan garam dan gula
 
                  Kebanyakan makanan yang diawet dan diproses mempunyai 
                  kandungan garam dan gula dan lebihkan makanan segar. Jika 
                  menggunakan kicap atau sebarang sos, garam tidak perlu 
                  ditambah di dalam masakan. Rasalah makanan terlebih dahulu 
                  sebelum menambah garam. Kurangkan juga penggunaan gula dalam 
                  penyediaan minuman dan kuih muih.  
 
 | 
              
                
- Minum sekurang-kurangnya enam hingga 
                  lapan gelas air sehari
 
                  Air adalah penting untuk fungsi fisiologi di dalam badan, 
                  mengawal suhu badan dan mengeluarkan bahan sisa dari badan. 
                  Air diperlukan untuk menggantikan cecair tubuh yang hilang, 
                  terutamanya jika kita melibatkan diri dalam aktiviti fizikal. 
                  Minumlah air sebanyak enam hingga lapan gelas sehari. Dan 
                  dalam keadaan-keadaan tertentu seperti bekerja di dalam bilik 
                  berhawa dingin, minumlah air dengan banyak walaupun tidak 
                  merasa dahaga.  
 
 | 
              
 
          SETIAP AHLI KELUARGA MEMERLUKAN MAKANAN YANG BERKHASIAT DAN 
          SEIMBANG SETIAP HARI
          
          Panduan berikut boleh digunakan ketika anda merancang hidangan 
          harian untuk keluarga :
              
                SARAPAN PAGI
                
                 
- Hidangkan sarapan yang berkhasiat. 
                  
 
- Sebaik-baiknya mulakan dengan buah-buahan 
                  segar atau jus buah-buahan. Ini merupakan pembuka selera dan 
                  pembekal serat. 
 
- Sajikan makanan berasaskan bijirin seperti 
                  nasi, bubur, mi, roti dan bijirin sarapan. Jika memilih roti, 
                  sebaik-baiknya pilihlah roti mil penuh. Hidangkan makanan ini 
                  dengan sedikit daging tanpa lemak, ikan atau telur. Roti boleh 
                  dimakan dengan keju rendah lemak, mentega kacang atau susu.
                  
 
- Susuli dengan minuman yang berasaskan susu.
                  
 
 
 | 
              
                MAKAN TENGAHARI
                
                 
- Sediakan hidangan yang ringkas. 
                  
 
- Jika makan di luar, pelbagaikan pilihan 
                  anda setiap hari. Dapatkan pilihan yang lebih sihat dan 
                  berkhasiat. 
 
- Pilihlah hidangan yang mengandungi makanan 
                  dari kesemua kumpulan makanan mengikut Piramid Makanan
                  
 
 
 | 
              
 
              
                MAKAN MALAM
                
                 
- Makan malam merupakan masa yang terbaik 
                  untuk melengkapkan pengambilan makanan dalam sehari. Contohnya, 
                  sekiranya terdapat kekurangan jenis-jenis makanan yang diambil 
                  pada siang hari, makanan tersebut boleh diambil pada waktu ini.
                  
 
- Sebaik-baik sediakan dua hidangan 
                  sayur-sayuran dan salah satu daripadanya ialah sayur-sayuran 
                  berdaun hijau. 
 
- Elakkan daripada makan terlalu hampir 
                  dengan waktu tidur. Makanlah sekurang-kurangnya dua jam 
                  sebelum tidur. 
 
 
 | 
              
 
              
                SNEK
                
                 
- Jika perlu makanlah dengan sedikit. 
                  Pilihlah snek yang berkhasiat dan yang kurang kandungan lemak 
                  dan gula, contohnya buah-buahan, sandwic, kacang rebus, jagung 
                  rebus dan biskut. 
 
 
 | 
              
 
Setiap makanan mengandungi nutrien tetapi perlulah 
          dipilih jenis makanan yang mengandungi lebih nutrien. Gunakan panduan 
          berikut ketika memilih dan menyediakan makanan.
              
                
- Sediakan pelbagai jenis makanan dalam 
                  setiap hidangan. 
 
- Utamakan makanan yang kaya dengan 
                  karbohidrat sebagai sumber tenaga seperti nasi, roti, mi dan 
                  ubi. 
 
- Juga pentingkan makanan yang membekalkan 
                  vitamin, mineral dan serat seperti buah-buahan dan 
                  sayur-sayuran. 
 
- Biasakan memilih buah-buahan yang segar dan 
                  berwarna serta sayur-sayuran berdaun hijau yang mengandungi 
                  banyak vitamin dan mineral. 
 
- Pilih makanan yang membekalkan protin 
                  seperti ikan, ayam, daging, telur dan kekacang. 
 
- Pilih makanan yang kaya dengan kalsium 
                  contohnya susu, keju dan dadih. Makanan lain seperti ikan 
                  bilis, ikan tamban dan ikan sardin juga kaya dengan kalsium.
                  
 
- Kurangkan menggoreng makanan terutamanya 
                  makanan yang disaluti tepung dan kurangkan masakan yang 
                  bersantan. 
 
- Guna susu rendah lemak atau susu skim bagi 
                  menggantikan santan kelapa dalam masakan anda. Masukkan 
                  kentang, tomato atau bawang yang dikisar untuk memekatkan kuah.
                  
 
- Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi 
                  kandungan lemak, minyak, gula dan garam seperti snek dan 
                  makanan segera. Hadkan memakan makanan segera tidak lebih 
                  daripada dua kali sebulan. 
 
- Gunakan kaedah memasak yang dapat 
                  mengekalkan warna dan rasa asal makanan. 
 
- Selalulah menghidangkan makanan yang baru 
                  dimasak. 
 
- Apabila membeli makanan bertin atau 
                  berbungkus, bacalah label bagi membantu anda memilih makanan 
                  yang berkhasiat dan menjimatkan. 
 
 
 | 
              
 
UTAMAKAN KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN MAKANAN BAGI 
          MENJAMU KESEJAHTERAAN KELUARGA
Kuman hidup di merata-rata tempat dan boleh 
          mencemari makanan jika tidak disediakan secara bersih. Persekitaran 
          yang kotor, terutamanya di dapur mengundang makhluk perosak seperti 
          tikus, lipas dan semut yang juga boleh mencemar makanan dan 
          menyebabkan keracunan.
Panduan berikut boleh digunakan untuk menyedia dan 
          menghidangkan makanan secara bersih.
- Basuh tangan dengan sabun setiap kali 
                  sebelum menyediakan makanan dan selepas ke tandas. Tangan 
                  merupakan tempat yang sering mengumpul kotoran dan habuk, 
                  termasuk kuman (bakteria dan virus), yis dan kulat. 
                  
 
- Amalkan kebersihan diri yang baik. Rambut, 
                  hidung atau mulut janganlah disentuh semasa menyediakan 
                  makanan. Luka-luka kecil dan kudis di muka, tangan dan lengan 
                  perlulah dibalut dengan plaster. Tanggalkan cincin, gelang dan 
                  jam sebelum menyediakan makanan kerana barang-barang tersebut 
                  mudah dilekati kotoran yang membolehkan bakteria mencemari 
                  makanan. 
 
- Jangan bersin atau batuk ke arah makanan.
                  
 
- Sentiasa gunakan tuala yang bersih. Gunakan 
                  tuala yang berasingan untuk mengelap pinggan mangkuk, mengelap 
                  tangan atau mengelap meja bagi mengelakkan pencemaran silang.
                  
 
- Cuci pinggan mangkuk, sudu, garpu, periuk 
                  belanga dan peralatan dapur yang lain, terutamanya papan 
                  landas dan pisau dengan sabun dan bilas dengan air yang bersih. 
                  Sekiranya boleh, gunakan air panas. Pastikan peralatan 
                  menghidang makanan seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu dan 
                  gelas bersih sebelum digunakan. 
 
- Gunakan papan landas dan pisau yang 
                  berasingan bagi memotong bahan-bahan makanan yang dimakan 
                  mentah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti dari yang 
                  digunakan untuk memotong ayam, daging dan ikan. 
 
- Bersihkan dapur, bahagian atas kabinet dan 
                  meja serta lantai dengan menggunakan air bersih dan sabun 
                  pencuci bagi mengurangkan masalah lalat, tikus dan lipas. 
                  Gunakan air panas di mana boleh. Pastikan agar dapur dan sinki 
                  sentiasa bersih dan kering. 
 
- Basuh semua makanan dengan air yang bersih 
                  dan mengalir. 
 
- Tudung dan simpan semua makanan yang 
                  dimasak dengan sempurna. Simpanlah makanan di dalam bekas yang 
                  bersih dan bertutup untuk mengelak kerosakan dan pencemaran. 
                  Jangan sekali-kali menggunakan bekas racun untuk menyimpan 
                  makanan atau minuman dan elakkan daripada menggunakan surat 
                  khabar bagi menutup makanan. 
 
- Jangan biarkan makanan yang telah dimasak 
                  pada suhu bilik selama lebih dari empat jam. 
 
- Ahli keluarga yang demam, batuk, selsema 
                  atau cirit birit tidak digalakkan menyediakan makanan kerana 
                  mereka boleh menyebarkan kuman ke dalam makanan. 
 
- Kebersihan tempat menyimpan makanan adalah 
                  sangat penting. Almari tempat menyimpan makanan hendaklah 
                  sentiasa ditutup dengan rapat bagi mengelakkan daripada 
                  dimasuki tikus dan serangga seperti lalat dan lipas. Almari 
                  tersebut juga perlulah mempunyai pengudaraan yang cukup untuk 
                  mengeluarkan bau dan haba yang berlebihan. Cara penyimpanan 
                  makanan yang betul dapat mengurangkan kerosakan, pencemaran 
                  dan pembaziran bahan-bahan makanan. Didik anak-anak cara 
                  menyimpan makanan mudah rosak yang tidak digunakan serta merta.
                  
 
- Makanan perlu disimpan pada suhu yang betul 
                  bagi menjaga mutu dan khasiatnya. Makanan yang telah dimasak 
                  hendaklah dimakan secepat mungkin, sebaik-baiknya ketika masih 
                  lagi panas. Jika makanan hendak disejukbekukan, bahagikan 
                  makanan yang hendak disejukbeku kepada siaz hidangan yang 
                  kecil. Gunakan bekas yang leper dan bertutup atau masukkannya 
                  ke dalam plastik makanan dan tandakan dengan tarikh makanan 
                  disimpan. Elakkan dari menggunakan semula bekas styrofoam 
                  untuk menyimpan makanan. Cairkan makanan beku di bahagian 
                  bawah dalam peti sejuk atau di dalam ketuhar gelombang mikro. 
                  Elak dari mencairkan makanan beku pada suhu bilik. Makanan 
                  yang telah dicairkan tidak boleh dibekukan semula. 
                  
 
- Bahagian bawah dalam peti sejuk 
                  (refrigerator) sangat sesuai untuk menyimpan makanan yang 
                  mudah rosak yang tidak perlu dibekukan.Suhunya perlu 
                  dikekalkan pada 4C atau kurang. 
 
sumber dipetik dari:-http://www.jpapencen.gov.my/prinsip_pemakanan.html