Monday, 24 March 2014

Punca anak sukar bernafas

Oleh ZAITIE SATIBI

Kanak-kanak dan bayi mudah terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan virus pada saluran pernafasan. Penyakit yang biasa menyerang mereka ialah krup atau akut laryngotracheobronchitis.
Krup ialah serangan virus yang menyebabkan radang dan bengkak pada peti suara (larinks), salur udara (trakea) dan tiub bronkial (bronki) serta pertambahan lendir.

Ketiga-tiga organ itu terletak di bahagian atas dan bawah kerongkong yang menghubungkan mulut pada atas paru-paru.

Kerongkong yang membengkak akan mengganggu pernafasan kanak-kanak atau bayi, menyebabkan suara mereka menjadi garau dan batuk berbunyi seperti salakan anjing, tetapi lebih buruk lagi apabila kesukaran bernafas boleh mengancam nyawa.

Kanak-kanak dan bayi yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga pengasuh di pusat jagaan harian kerana berada dalam kelompok ramai dengan lokasi sempit.

Pada masa sama, persekitaran dibiarkan tidak bersih, manakala perkongsian bekas makanan dan minuman menyebabkan penyakit mudah tersebar.

Pakar Kanak-kanak, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Eric Lee Kim Hor berkata, serangan virus respiratori membuatkan saluran pernafasan bengkak sehingga menutup laluan oksigen, mengakibatkan pesakit mengalami batuk dengan pernafasan berbunyi bising dan keras.

“Ketika pesakit batuk, mereka memaksa udara keluar melalui laluan udara yang sempit akibat pembengkakan sehingga peti suara akan menghasilkan bunyi kuat.

“Malah, ketika menarik nafas juga akan menghasilkan bunyi tinggi seperti sesak nafas, tetapi bukan lelah.

“Ia umpama tingkap yang terbuka luas dan angin mudah melaluinya secara senyap, sebaliknya tingkap yang ditutup sedikit menyebabkan angin cuba menderu masuk dengan bunyi kuat,” katanya.

Krup biasanya disebabkan virus parainfluenza yang merebak melalui titisan cecair dari hidung atau mulut.

Pesakit krup yang bersin atau batuk akan mengeluarkan titisan cecair di udara dan jangkitan boleh berlaku sekiranya titisan udara mengandungi virus disedut oleh orang lain.

Partikel virus dalam titisan ini juga boleh bertahan pada alat permainan atau sebarang permukaan. Jika kanak-kanak menyentuh permukaan tercemar dan kemudian menyentuh pula mata, hidung atau mulutnya, ia juga boleh mengakibatkan jangkitan.

Bagaimanapun, jangkitan krup juga boleh disebabkan oleh virus respiratori sinsitial (RSV), adenovirus dan influenza dengan cara yang sama. Malah, peningkatan jangkitan virus respiratori mudah merebak ketika musim hujan.

“Jangkitan biasanya bermula pada membran hidung, menyebabkan pesakit mengalami selesema sebelum merebak ke peti suara dan salur udara.

“Gejala seterusnya dapat dilihat apabila pesakit mula batuk, diikuti pertukaran suara dan tangisan menjadi serak, malah pernafasan mula mengeluarkan bunyi menandakan saluran pernafasan mulai menyempit.

“Virus pada saluran pernafasan yang tidak dihapuskan dikhuatiri memasuki paru-paru dan menyebabkan organ itu berair atau dikenali bronchiolitis.

“Ini disebabkan juga daya pertahanan melawan penyakit yang lemah, tetapi kes sebegini jarang berlaku,” katanya.

Menurutnya, untuk mengesan sama ada kanak-kanak dan bayi dijangkiti virus parainfluenza, doktor akan membuat pemeriksaan fizikal dengan memerhatikan cara pesakit bernafas.

Doktor juga akan memeriksa tekaknya sama ada wujud tanda mengalami jangkitan krup sebelum merawatnya dengan adrenalin atau steroid yang diberi melalui nebulizer atau ubat sedut.

“Adrenalin atau steroid diberi untuk membuka saluran pernafasan pesakit yang sempit akibat bengkak dan radang pada saluran udara kerana ubat berkenaan mampu mengurangkan tanda kesakitan dalam tempoh singkat.

“Doktor juga akan memberi suntikan dexamethasone yang turut berfungsi mengurangkan bengkak.

“Kes teruk perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan. Pesakit mungkin perlu memakai tiub pernafasan sementara, tetapi keadaan ini jarang berlaku.

“Bagaimanapun, rawatan antibiotik tidak diperlukan kerana kebanyakan kes krup disebabkan virus,” katanya.

Bagaimanapun, ada kanak-kanak atau bayi tiba-tiba mengalami masalah kesukaran bernafas tanpa menunjukkan gejala jangkitan krup yang lazim.

Ini dikenali sebagai krup spasma yang disebabkan reaksi alahan terhadap jangkitan atau refluks asid perut ke dalam tekak.

Jangkitan krup pada kanak-kanak dan bayi boleh berulang. Oleh itu, jangkitan ringan boleh dirawat di rumah.

Ibu bapa atau penjaga perlu kenal semua tanda permulaan jangkitan supaya rawatan awal dapat diberi, sekali gus mengelak masalah kekurangan berlaku.
“Walaupun tidak serius, jangkitan ini tidak boleh dipandang ringan. Kanak-kanak dan bayi yang terkena jangkitan perlu dirawat segera kerana boleh mengundang komplikasi penyakit lain.

Dr Lee berkata, jangkitan krup biasanya menyerang bayi berusia sembilan bulan hingga kanak-kanak berusia tiga tahun. Jangkitan juga bertahan tiga atau empat hari sebelum pesakit pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

“Bagi kes serius, saluran pernafasan yang sempit dan tertutup menyebabkan pesakit sukar bernafas. Bibir atau jari menjadi biru atau lebam, menandakan berlakunya kekurangan oksigen,” katanya.

sumber dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/articles/Puncaanaksukarbernafas/MA/Article