Friday, 28 March 2014

Selamatkan Anak-anak Daripada Penyakit Depresi ( Kemurungan )

Oleh Dr. Tam Cai Lian
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Petaling Jaya, Selangor

"Cikgu tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!". Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada gurunya.

Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor, pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa.

Sejak di bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh bilangan A yang maksimum. Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan emosi di kalangan pelajar.

Ramai di antara mereka disyaki telah menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.

Selain itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari.

Apabila seseorang menghidap penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang menghasilkan gangguan emosi.

Gangguan emosi ini berterusan sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya. Secara keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan depresif (depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (bipolar disorder).

Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:
Susan berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya.

Menurut aduannya: "Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun berasa amat letih dan tidak bermaya. Peperiksaan SPM sudah menjelang tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa."

Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya, tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit dan membaling barang-barang yang tercapai oleh tangannya ketika menerima rawatan.

Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi, Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan depresi major.

Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung, letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu
berterusan.

Selain itu, aktiviti hariannya turut terjejas. Penyakit depresi merupakan penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika Syanikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).

Kebelakangan ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik di sekolah rendah, menengah ataupun Pusat pengajian tinggi.

Keadaan sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan yang menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi. Seandainya seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda dibawah untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit depresi major:
  1. Berasa murung hampir setiap hari.
  2. Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
  3. Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
  4. Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
  5. Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
  6. Berasa letih dan tidak bermaya.
  7. Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
  8. Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
  9. Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.
Tanda-tanda di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Sejak dari sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Menurut fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk menimbulkan perasaan megah ibu bapa.

Anak-anak kerdil ini berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa banyak A yang boleh untuk menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.

Penulis pernah melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu peperiksaan.

Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja.

Cara pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan generasi muda yang kreatif dan dinamik.

Depresi mempengaruhi sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang normal.

Penyelidikan pakar psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih kerap menghidap penyakit depresi.

Bagaimanapun, anggapan ini ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.

Individu yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering kali menjayakannya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi. Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan pendapat.

Kehidupan keluarga yang porak peranda dan sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya, kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada serangan penyakit depresi.

Seandainya seseorang anak masih diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan.

Melalui terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya. Pada hakikatnya, anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul, melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira.

Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menamhah tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkan insiden membunuh diri.

Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam. Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik sehingga mengorbankan anak-anak?

Ambillah langkah-langkah yang positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.